Pemuda PKR Tidak Setuju Langkah Kerajaan, Kedai Gunting Rambut Dibuka Semula | Malaysia Top News
May 27, 2020

Pemuda PKR Tidak Setuju Langkah Kerajaan, Kedai Gunting Rambut Dibuka Semula

Kuala Lumpur, MTN – Pemuda PKR tidak setuju dengan langkah kerajaan untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut menyambung semula operasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Begitu juga dengan perkhidmatan lain yang memerlukan kontak secara terus dengan pelanggan.

Mengakui gesaan itu mungkin tidak popular pada masa ini, ketuanya Akmal Nasir ia demi tidak mensia-siakan pengorbanan petugas kesihatan barisan depan dan warga yang mematuhi PKP sehingga hilang pendapatan untuk membendung wabak Covid-19.

“Bolehkah kita berkorban sedikit lagi untuk pertahankan penjarakan sosial? Saya mohon maaf kepada pengusaha-pengusaha kedai gunting kerana mesej ini.

“Namun pandangan saya, eloklah kedai gunting rambut dan perkhidmatan lain yang ada kontak secara terus dengan pelanggan ditutup dahulu,” kata anggota Parlimen Johor Bahru itu dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengeluarkan senarai sejumlah perkhidmatan dan sektor yang boleh memohon untuk menyambung operasi sepanjang PKP, antaranya perkhidmatan gunting rambut asas dan dobi bukan layan diri.

Bagaimanapun menterinya Azmin Ali menyebut pengusaha dalam sektor terbabit wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran operasi dibatalkan dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses.

“Selain itu, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan garis panduan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan,” kata Azmin.

Sementara itu, pengendali laman Facebook Public Health Malaysia mengingatkan pengusaha kedai gunting rambut untuk memastikan kawalan ketat setelah kembali beroperasi memandangkan risiko yang tinggi di premis berkenaan.

Melalui satu hantaran hari ini, Public Health Malaysia mengingatkan bahawa kedai gunting rambut berisiko tinggi menjadi pusat penyebaran jangkitan memandangkan jarak rapat antara pelanggan dan tukang gunting, tempoh masa yang lama (lebih 15 minit) diambil untuk menggunting rambut dan ruang kedai yang sempit dengan pengudaraan terhad.

 Bagi mencegah penularan wabak, ia menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil oleh pengusaha dan pelanggan, selain pemantauan yang rapat oleh pihak berkuasa.

Antaranya, tukang gunting dan pelanggan haruslah dipastikan bebas daripada gejala demam, batuk dan selsema; sentiasa mengenakan penutup mulut dan hidung; tidak menghisap vape atau rokok; dan menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

Selain itu, Public Health Malaysia juga menyarankan pelanggan dan tukang gunting mengamalkan standard kebersihan yang dinyatakan sebelum ini untuk mencegah Covid-19, seperti sentiasa membasuh tangan sebelum dan selepas menyentuh pelanggan dan memastikan premis bersih dan dinyahkuman secara harian.

“Semua masyarakat dan premis perlu beri kerjasama penuh.

“Kita perlu mempersiapkan diri ke arah budaya kehidupan baru yang mengutamakan langkah langkah pencegahan seperti ini dalam semua aktiviti harian,” kata laman itu lagi.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan PKP, yang dijadual tamat pada 14 April, untuk dua minggu lagi iaitu sehingga 28 April ini.

Setakat tengah hari semalam, Malaysia merekodkan 4,346 kes Covid-19. Sejumlah 1,830 daripadanya telah sembuh, manakala 70 pesakit telah meninggal dunia.

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •