Akui Liberal, Anwar Ibrahim: 'Tapi Bukan Soal Islam' | Malaysia News
Notice: sanitize_url is deprecated since version 2.8.0! Use esc_url_raw() instead. in /home/kulf6423/public_html/malaysiatopnews.com/wp-includes/functions.php on line 4652
anwar ibrahim

Akui Liberal, Anwar Ibrahim: ‘Tapi Bukan Soal Islam’

Kuala Lumpur, MTN – Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui beliau seorang yang liberal kerana sedia mendengar pendapat pelbagai pihak, sebagai menjamin kebebesan untuk bersuara.

Anwar berkata, bagaimanapun beliau tidak bersikap liberal dalam soal yang berkait dengan perkara membabitkan Islam.

“Kita ini liberal makna kita sedia mendengar, sedia menolak, sedia tasamuh toleransi dengan padangan, ya.

“Tapi bukan liberal sebagai seorang muslim, soal akidah nak liberal macam mana, solat lima kali sehari, saya tak liberal, puasa bulan Ramadan itu saya tak liberal.

“Tapi orang bagi pandangan, dia itu dari seorang ateis atau seorang komunis, dia memberi pandangan saya mahu dengar, saya mahu hujah, saya jawab.

Bukan asing dituduh liberal. “Saya tidak hukum dia, saya tidak penjarakan dia kerana pandangan dia,” katanya dalam satu video soal yang dimuat naik dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Anwar berkata, tuduhan liberal terhadap dirinya bukan asing, malah baru-baru ini ada juga tokoh negara menuduhnya sedemikian.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan apakah dirinya liberal dan apakah PKR menjadi anggota Liberal International, persekutuan parti-parti beraliran liberal antarabangsa.

Pada 11 Mac, bekas perdana menteri Mahathir Mohamad berkata antara sebab orang Melayu tidak boleh menerima Anwar kerana ideologi politiknya yang liberal.

Menurut Mahathir, ia dapat dilihat apabila Anwar mengajak DAP untuk menyertai bersama gabungan parti yang ditubuhkannya sebelum ini.

“Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada Umno ketika saya jadi perdana menteri (pada tahun 1998), dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal.

“Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, PAS masuk. Falsafah dia liberal,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Anwar berkata, beliau akan menolak liberal dalam erti kata meremehkan agama, menolak akidah dan akhlak. Namun katanya, amat malang bila ada pihak yang merompak sehingga berbilion ringgit dianggap tiada mudarat berbanding liberal hanya kerana mereka konservatif muslim.

Jelas Anwar mendengar pandangan kumpulan yang bertentangan dengan keyakinannya seperti LGBT, bukan bererti menyokong atau bersetuju dengan mereka.

“Itu kalau dianggap saya liberal kerana saya sanggup mendengar mereka itu, ok.

“Kalau tidak kalau saudara pilih satu sistem kuku besi, ya sistem macam Taliban yang semua tak boleh, semua kena hukum yang wanita pergi sekolah pun tak boleh, itu nasib kita,” katanya.

Untuk rekod, sistem demokrasi liberal merujuk kepada pemisahan kuasa antara eksekutif, penggubal undang-undang dan kehakiman serta mematuhi kedaulatan undang-undang dan jaminan terhadap hak asasi manusia.

Cabaran kelima Wawasan 2020 ilham Dr Mahathir pada 1991 menyatakan matlamat, “mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.”

Dokumen Rukun Negara yang dibentuk oleh Majlis Gerakan Negara pada 31 Ogos 1970 mencatatkan pada bahagian pengisytiharannya, antara cita-cita yang didukung Malaysia adalah “hendak menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.”

Sementara itu, Pusat Rujukan Persuratan Melayu mentakrifkan liberal antaranya bermaksud “(bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik” atau “berfahaman bebas” atau “berpandangan terbuka” (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya).[mk]

Facebook Comments