Pendapatan Pekebun Kecil Getah Dianggarkan Meningkat 25% | Malaysia News

Pendapatan Pekebun Kecil Getah Dianggarkan Meningkat 25%

Pendapatan Pekebun Kecil Getah Dianggarkan Meningkat 25%

Kuala Lumpur, MTN – Peratusan pekebun kecil yang menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dijangka bertambah tahun ini, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka sebanyak 25 peratus sebulan, menurut Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bantuan IPG akan disalurkan terus kepada pekebun kecil tanpa melalui proses permohonan manual memandangkan peraih dan pembeli getah diwajibkan menggunakan aplikasi RRIMniaga mulai 1 Januari 2021.

“Anggaran pendapatan pekebun kecil diunjurkan meningkat sebanyak 25 peratus daripada RM933 kepada RM1,167 sebulan dengan adanya bantuan IPG.

“Ini berdasarkan purata pemilikan kebun seluas dua hektar dan harga getah ‘cuplump’ di ladang sebanyak RM2 sekilogram,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sepanjang 2020, sebanyak 30.16 peratus daripada keseluruhan pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) telah menuntut IPG.

Mohd Khairuddin berkata jumlah pekebun yang aktif mengemukakan tuntutan adalah 135,632 daripada keseluruhan 495,296 pemegang kad PAT-G, membabitkan kebun getah seluas 294,095.79 hektar.

“Kerajaan tidak pernah berhenti malah akan terus membantu golongan pekebun kecil ini khususnya dalam keadaan harga pasaran getah rendah,” katanya.

Program IPG dan penggunaan aplikasi RRIMniaga adalah antara inisiatif kementerian dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga dan memastikan aktiviti pengeluaran produk komoditi itu diteruskan serta menstabilkan pendapatan pekebun kecil.

Aplikasi RRIMniaga hasil merupakan inovasi LGM yang dilancarkan awal tahun lepas untuk mempermudah urus niaga getah membabitkan peruncit, pembeli dan peraih.

Dalam Belanjawan 2021 pula, peruntukkan dana IPG telah ditambah kepada RM300 juta berbanding RM150 juta pada 2020.

Lebih 450,000 pekebun kecil getah menghadapi keadaan ekonomi semasa yang mencabar dan impak pandemik COVID-19 yang masih menular sehingga kini.

 

[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply