Perak Akan Terima Bekalan Vaksin Covid-19 Rabu Ini | Malaysia News
June 20, 2021

Perak akan terima bekalan Vaksin Covid-19 Rabu ini

MTN – Bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Perak akan dibawa dari Pulau Pinang dengan kawalan ketat pada Rabu ini, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan bantuan kawalan mengiringi penghantaran bekalan vaksin dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu ke empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Perak.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat empat tempat simpanan bekalan vaksin di Perak iaitu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, Teluk Intan, Taiping dan Hospital Angkatan Tentera di Lumut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson

Beliau berkata, pihaknya telah mendaftarkan kesemua nama pegawai dan anggota polis kontinjen Perak bagi menerima suntikan vaksin tersebut dengan tarikh akan dimaklumkan oleh KKM dalam masa terdekat.

“Setakat ini tiada sebarang masalah lagi dan semua polis Perak akan menerima suntikan vaksin walaupun pada fasa pertama ini bukan semua akan terima.

“Difahamkan hanya kira-kira 33,000 petugas barisan hadapan akan diberikan terlebih dahulu oleh KKM dan selebihnya mungkin akan diberikan pada fasa kedua dan ketiga nanti,” katanya.

Pada Ahad, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin dilaporkan berkata Perak dijangka menerima sebanyak 79,560 dos vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sementara itu di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang dibeli sendiri oleh kerajaan negeri dijangka bakal diperoleh pada Mei atau Jun depan.

“Pengagihannya dilakukan kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya selepas melancarkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di sini pada Isnin.

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan negeri itu bercadang membeli tiga hingga lima juta dos vaksin Covid-19 sebagai usaha mengawal penularan Covid-19 khususnya dalam kalangan rakyat Selangor termasuk pekerja asing.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Isnin bagi membincangkan status bekalan dan agihan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba Ahad untuk negeri itu.

Advertisement

Jumlah keseluruhan kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang diterima negara pada Ahad termasuk di Johor dan Pulau Pinang ialah 312,390 dos.

Di Melaka, negeri itu dijangka menerima 10,000 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama pada Rabu ini sebelum suntikan kepada petugas barisan hadapan bermula 28 Februari depan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata suntikan vaksin akan dijalankan di tiga hospital dan 33 klinik kesihatan di negeri itu serta di Dewan Tun Ali di sini.

“Antara cadangan individu pertama yang akan menerima suntikan vaksin ini ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam diikuti Ketua Menteri Melak,a Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta barisan Exco kerajaan negeri dan persetujuan akan diperoleh dalam masa terdekat.

“Bulan Februari hingga April ini melibatkan petugas barisan hadapan dan kumpulan penerima seterusnya termasuk orang awam ialah pada Mei depan secara berperingkat hingga tamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Januari tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkat, kerajaan negeri Melaka merancang membuka satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) swasta di Hotel Kobemas, Ayer Keroh di sini bagi menempatkan pekerja asing atau tempatan antaranya daripada sektor industri yang didapati positif Covid-19.

Rahmad berkata pihak mengurusan hotel dan majikan masih berunding mengenai beberapa perkara dan PKRC tersebut dijangka dibuka dalam masa terdekat.

Beliau berkata, hotel berkenaan mampu menampung kira-kira 150 pesakit Covid-19 dan kos penginapan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

“Kementerian Kesihatan menerusi Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi keizinan untuk negeri-negeri mewujudkan PKRC swasta dan garis panduan pelaksanaannya telah dikeluarkan. Harga siling harian yang ditetapkan ialah RM350,” katanya.

Katanya kerajaan negeri hanya terlibat dalam aspek pemantauan bagi memastikan PKRC swasta tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
– Bernama

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •