Penerima Suntikan Awal Vaksin COVID-19
Penerima Suntikan Awal Vaksin COVID-19
Kuala Lumpur, MTN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyenaraikan 102,000 nama sebagai penerima suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama, yang bermula Rabu ini.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din bagaimanapun berkata, PDRM belum mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai jumlah sebenar penerima awal suntikan vaksin itu, bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Beliau berkata pemberian vaksin dicadang untuk diberikan kepada pegawai dan anggota daripada semua jabatan dalam PDRM, yang berjumlah 118,214 orang ketika ini.
Ia tidak tertumpu kepada satu-satu jabatan atau bahagian sahaja, kerana secara prinsipnya semua mereka layak menerimanya, katanya.
Ramli berkata KKM menetapkan PDRM akan mula terima suntikan vaksin pada 26 Feb ini dan PDRM telah mencadangkan 147 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada KKM, untuk kegunaan warga PDRM.
PPV yang telah dikenal pasti tidak melibatkan semua balai polis, sebaliknya hanya melibatkan IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) atau IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah), yang berujuan memudahkan urusan pemberian vaksin di sesuatu daerah.
“Cadangan untuk dibuat secara ‘outreach’ bagi memudahkan pegawai dan anggota hadir menerima suntikan vaksin dan memudahkan pemantauan dibuat terhadap kehadiran dan ia selari dengan saranan KKM,”‘ katanya.
Beliau berkata KKM yang akan melakukan suntikan, manakala PDRM akan membuat seliaan keselamatan dan menentukan anggota yang setuju untuk disuntik hadir ke pusat suntikan.
Terdahulu, vaksin COVID-19 itu selamat tiba apabila pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pagi tadi.
Vaksin itu disimpan di tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor, sebelum ia mula dihantar ke PSV KKM.
Media sebelum ini, melaporkan fasa pertama program bermula Feb hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos, bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, serta golongan Orang Kurang Upaya.
Sementara fasa ketiga, bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun hadapan.
-Bernama
Author Profile
Latest entries
- TokohJanuary 12, 2025‘Giliran mencuri’ – Anak Pak Lah nafi tuduhan Dr M
- TokohJanuary 11, 2025Mahathir – Anak Pak Lah beritahu anak saya, kini giliran kami mencuri
- InternationalJanuary 10, 2025Kebakaran Los Angeles, Jumlah korban meningkat kepada 10
- InternationalJanuary 10, 2025Trump umum atur pertemuan bersama Putin