Perdagangan Malaysia-China Cecah Hingga RM329,77 Billion | Malaysia News

Perdagangan Malaysia-China Cecah Hingga RM329,77 Billion

Perdagangan Malaysia-China Cecah Hingga RM329,77 Billion

Kuala Lumpur, MTN – Hubungan dua hala Malaysia dengan China berpaksikan kepada keutuhan persahabatan, saling percaya dan keuntungan bersama, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Beliau berkata, hasil hubungan substantif dan penuh keyakinan itu, pada 2013 hubungan dua hala kedua negara telah dipertingkatkan dari perkongsian strategik ke taraf perkongsian strategik komprehensif.

“Kerjasama strategik ini bukan terhad kepada hal ehwal dua hala sahaja, malah merangkumi peringkat serantau dan antarabangsa. Umumnya, keuntungan dari kerjasama dalam pelbagai bidang ini, terutama perdagangan adalah amat baik dan mendatangkan manfaat yang besar.

“Sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, pecahan perdagangan antara Malaysia dan China pada 2020 telah mencecah 18.6 peratus dari jumlah perdagangan global Malaysia, iaitu peningkatan 8.1 peratus dari 2019, walaupun kedua-dua negara dilanda wabak Covid-19.

“China meraih kedudukan sebagai rakan dagang Malaysia yang terbesar selama 12 tahun berturut-turut sejak 2009, di mana nilai perdagangan dua hala mencapai RM329.77 bilion bagi tahun 2020,” katanya pada sesi Penggulungan Titah Diraja di Dewan Negara.

Menurut beliau, bagi Januari hingga Ogos lalu, nilai perdagangan dua hala telah meningkat 35.2 peratus dan mencapai AS$108.28 bilion, berbanding tempoh sama tahun 2020.

Kesimpulannya, kata Kamaruddin, hubungan dua hala antara Malaysia dan China tidak pernah terganggu sekali pun terdapat isu antara kedua-dua pihak.

Malah, kerjasama strategik Malaysia-China sentiasa berkembang dan akan terus dipertingkatkan serta diperkukuhkan pada masa hadapan, termasuk dalam menangani wabak COVID-19 dan pasca pandemik.

Berhubung isu pencerobohan di Laut China Selatan, Kamaruddin memberitahu, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keutuhan wilayah, kedaulatan dan kepentingan negara.

“Pada masa sama, memandangkan isu Laut China Selatan sangat kompleks dan melibatkan hubungan antara negara, ia perlu dikendalikan secara menyeluruh dan setiap tindakan yang diambil kerajaan berdasarkan pertimbangan yang komprehensif,” katanya.

Beliau menyatakan pendirian Malaysia berhubung Laut China Selatan adalah jelas dan secara ringkasnya merangkumi beberapa perkara.

Pertama, semua pihak perlu memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan atau freedom of navigation and over–flight.

Kedua, semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif atau mengamalkan self–restraint dan mengelakkan tindakan berkaitan ketenteraan atau militarisation.

Ketiga, pendirian negara ini juga disuarakan dengan konsisten di platform serantau dan antarabangsa, di mana Malaysia menegaskan Laut China Selatan mesti kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.

“Apabila berlaku insiden pencerobohan kapal kerajaan asing dalam perairan negara, kerajaan Malaysia secara konsisten mengemukakan Nota Bantahan Diplomatik kepada kerajaan negara yang mana kapal asing mereka didapati menceroboh perairan negara ini.

“Tindakan ini diambil selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan dalam perairan negara,” katanya.

[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply