Pesawat China Eastern 737 MU5735 Dilapor Terhempas | Malaysia News

Pesawat China Eastern 737 MU5735 dilapor terhempas

China Eastern 737 MU5735 - Pesawat China Jatuh

Pesawat China Eastern 737 MU5735 dilapor terhempas

Beijing – Sebuah pesawat China dengan 132 individu dilapor terhempas di Wilayah Guangxi pada Isnin.

Kejadian itu turut menyebabkan kebakaran di kawasan pergunungan.

Agensi CCTV melaporkan, kemalangan itu melibatkan penerbangan China Eastern 737 MU5735 berdekatan bandar Wuzhou di daerah Teng.

Pasukan penyelamat telah dihantar ke lokasi kejadian dan jumlah mangsa yang terlibat masih belum diketahui.

Sebelumnya, dalam laporan awal sejurus kejadian itu, media antarabangsa melaporkan terdapat 133 orang di dalam pesawat berkenaan, sebelum dikemas kini menjadi 132 orang.

Pesawat tersebut dilapor dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou.

“Kita terkejut dikhabarkan tentang nahas pesawat China Eastern MU5735,” kata Presiden China, Xi Jinping, dalam siaran khas di CCTV.

Beliau juga mengarahkan segala usaha dilakukan dengan segera untuk mencari sesiapa sahaja yang masih boleh diselamatkan, selain mengenal pasti punca kejadian.

Seorang penduduk kampung di kawasan nahas memberitahu media tempatan bahawa pesawat berkenaan telah ‘berkecai sepenuhnya’, dan dia menyaksikan kawasan hutan yang terbakar akibat kemalangan di lereng pergunungan itu.

China Eastern yang berpengkalan di Shanghai merupakan antara syarikat penerbangan terkemuka di negara itu yang beroperasi di 248 destinasi domestik dan antarabangsa.

Penerbangan MU5725 dari Kunming ke Guangzhou itu dilapor hilang kelajuan lalu menjunam sekitar jam 2.20 petang waktu tempatan.

Pesawat itu kemudian tidak memberi sebarang isyarat atau data di sekitar Wuzhou.

Pesawat tersebut diserahkan kepada China Eastern daripada Boeing pada Jun 2015 dan telah beroperasi melebihi enam tahun. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply