Poh Si Teng Dilantik Sebagai Pengarah Dana IDA | Malaysia News

Poh Si Teng Dilantik Sebagai Pengarah Dana IDA

Poh Si Teng Dilantik Sebagai Pengarah Dana IDA

Kuala Lumpur, MTN – Pembikin filem dokumentari antarabangsa dari Pulau Pinang, Poh Si Teng dilantik sebagai Pengarah Program Dana dan Perusahaan di Persatuan Dokumentari Antarabangsa (IDA) yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dalam kenyataan, berkata pelantikan Poh yang diumumkan menerusi laman sesawang rasmi IDA, kemarin, adalah bagi menggantikan penyandang sebelumnya, Carrie Lozano.

“Beliau (Poh) yang menyelia portfolio pembangunan geran pembikinan dokumentari di pasaran Amerika Syarikat dan global di IDA ini, terdahulunya berjaya tercalon di Anugerah Akademi ke-92 (Oscars) dalam kategori Dokumentari Terbaik (Subjek Pendek) menerusi penerbitan dokumentari berjudul ‘St. Louis Superman’.

“Berpengalaman luas dalam penerbitan dokumentari di Al-Jazeera International, beliau juga telah menyumbang sebagai wartawan di beberapa organisasi media antarabangsa antaranya The New York Times, Wall Street Journal, Agence France-Presse dan India Times, dan turut menerima pencalonan di News and Documentary Emmy Awards pada 2016,” menurut kenyataan itu.

Justeru, FINAS berharap dengan pengalaman luas Poh dalam industri penerbitan dokumentari dan kewartawanan itu membolehkan beliau menyumbang kepakaran dan pengalamannya dalam usaha memacu kemajuan industri kreatif negara ke peringkat global.

Selaras dengan aspirasi ‘Road To Oscars’, perbadanan itu juga mengalu-alukan kerjasama dan sinergi bersama bakat kreatif Malaysia yang berpangkalan di luar negara dalam memperkasa aspek pembangunan kandungan, modal insan, pelaburan dan pemasaran global.

 

[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply