PPBM lemah, takut pada Umno, kata Tun M
PPBM lemah, takut pada Umno, kata Tun M
PETALING JAYA, MTN – Bekas pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad mendakwa, parti yang ditubuhkannya bersama pemimpin lain dan kini diketuai Muhyiddin Yassin sebagai presiden sudah lemah serta mula takut kepada Umno selepas menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, matlamat ahli dan pemimpin PPBM yang masih bersama dengan parti itu juga bukan berjuang demi agama, bangsa dan tanah air, sebaliknya hanya mahu memenuhi kepentingan peribadi masing-masing.
“Sekarang ini lihat bagaimana PPBM dan Muhyiddin menjadi lemah dan takut kepada Umno. Sepatutnya ahli dan pemimpin PPBM kembali kepada kita, tetapi mereka beritahu ‘saya jadi menteri, tidak boleh keluar’.
“Jadi yang hendak berjuang itu adalah untuk menjadi menteri, itulah perjuangan mereka,” katanya dalam ceramah perdana pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Pusat Industri Ringan, Felda Trolak Utara, Perak, malam tadi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin sebelum itu berkata, pimpinan tertinggi parti itu memutuskan Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kerusi yang menyaksikan ahli Parlimennya berpaling tadah selepas menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Zahidi berkata, jika PPBM mahu bertanding pada PRU15 akan datang, parti itu boleh bertanding di kerusi lain, termasuk yang ditandingi “blackout”, merujuk kepada kerusi yang ditandingi bekas pemimpin PPBM dari kem Mahathir.
Mahathir berkata, antara punca utama beliau memutuskan menubuhkan Pejuang adalah untuk membersihkan politik negara.
Baginya tidak ada tempat dalam parti itu untuk pemimpin yang mengamalkan politik wang.
“Satu daripada sebab besar yang kita adakan parti baru ini adalah untuk membersihkan politik dalam negara kita, iaitu politik wang, politik yang bukan untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air tetapi untuk isi poket,” katanya.
Mahathir berkata, beliau percaya, calon bebas Amir Khusyairi Mohamad, yang bertanding menggunakan lambang pokok dan mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggadaikan maruah diri demi wang.
“Saya percaya Amir tidak akan berbuat demikian. Saya sudah panggil dia, tanya dia sama ada hendak jual atau tidak, dia kata tidak akan jual.
“Parti yang baru kita tubuh ini, iaitu Pejuang, kami semua berjanji tidak akan jual atau tidak ada nilai untuk setiap wakil rakyat kita,” katanya.
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri