Presiden PKR: Kedai Pajak Gadai Sesak Bukti Kesusahan Rakyat | Malaysia News

Presiden PKR: Kedai Pajak Gadai Sesak Bukti Kesusahan Rakyat

Presiden PKR: Kedai Pajak Gadai Sesak Bukti Kesusahan Rakyat

Kuala Lumpur, MTN – Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini meluahkan rasa simpatinya terhadap rakyat yang terpaksa menyerbu kedai-kedai pajak gadai sebaik sahaja kerajaan membuka semula ekonomi di bawah perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB).

Anwar berkata, fenomena kedai-kedai pajak gadai diserbu rakyat semalam membuktikan betapa rakyat kini hidup dalam kesusahan kesan daripada pelaksanaan PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu.

“Bukan sahaja B40, tapi M40 pun beratur di kedai pajak gadai, terdesak setelah sebulan PKP dan kita lihat keadaan ini begitu menekan kehidupan rakyat.

“Ini saya lihat di merata kedai pajak gadai. Maknanya ada masalah ekonomi besar dalam negara,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya, hari ini.

Semalam, selepas 46 hari seluruh negara dikenakan PKP, kelonggaran sekatan yang berkuat kuasa 4 Mei itu menyasikan sebilangan besar rakyat yang kekurangan wang tunai beratur di kedai-kedai pajak gadai.

Fenomena di seluruh negara ini dilaporkan oleh ramai warga maya di media sosial.

Di Petaling Jaya juga mendapati ramai yang berbaris panjang di beberapa kedai pajak gadai. Malah, sebuah kedai yang dikunjungi Malaysiakini mempunyai kira-kira 30 pelanggan yang berbaris di luar.

Mengulas lanjut, Anwar turut menegur sikap segelintir pihak yang mengecam tindakan rakyat menyerbu kedai pajak gadai terbabit.

Menurut Anwar, tindakan rakyat menyerbu kedai-kedai gadai perlu dilihat dari sudut kesusahan yang dialami rakyat yang terkesan dengan perlaksanakan PKP hingga menyebabkan kedudukan ekonomi mereka terjejas.

“Saya tengok ada ulasan, pelik, bangang sungguh, dia kata sebab kita longgar PKP orang boleh beratur pergi pajak gadai. Kalau saya sebut bangang kasar pula, ini ke pandangan orang kata cerdik dalam negara kita. Kalau nak pertahan kerajaan sampai tidak ada langsung perasaan jiwa, hati nurani.

“Kalau nak sokong kerajaan sokonglah, tapi bila orang beratur di pajak gadai itu orang itu merempat, habis apa yang ada, gelang, subang, emas kahwin, rantai semua pergi pajak gadai, ini maknanya terdesak. Simpatilah sikit, ini tidak. Boleh kata sebab itu kita lepas PKP.

“Naratif ini kena ubah, orang tak ada hati perut,” katanya.

Ekoran daripada itu, Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dickson berkata kerajaan ketika ini perlu mengubah corak pentadbiran dalam meningkatkan ekonomi rakyat.

“Saya pernah sebut dalam ceramah, konvensyen PKR tentang kajian, ia perlu dilihat dari segi pertumbuhan, kesihatan, pendidikan, pendapatan, keselesaan, tapi semua faktor ini dalam tempoh 10 tahun malang bagi ekonomi negara kita tidak ada perkembangan.

“Buktinya begini, baru sebulan masalah (laksana PKP). Bukan sahaja B40, tapi M40 beratur di pajak gadai. Terdesak setelah satu bulan PKP, kita lihat keadaan ini begitu menekan kehidupan rakyat, apa yang harus dipelajari, maknanya cara kita tadbir negara,cara urus ekonomi harus diubah,” katanya.

Selain itu, Anwar juga turut menegur Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menurutnya terlalu cepat bermain propaganda dengan memberi harapan kepada rakyat bahawa pertumbahan ekonomi akan lebih baik tahun hadapan.

“Ini angka memukau, kononnya pertumbuhan ekonomi begitu dan begini, menteri kewangan kata pertumbuhan memberangsangkan tahun depan, cepat sangat buat propaganda, tapi di pajak gadai beratur orang.

“Selepas Covid-19 ini, kita mesti tonjolkan barisan kepimpinan yang mampu lihat kehadapan sistem ekonomi yang tidak menekan kepada rakyat,” katanya.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply