Puad: Calon PM Harus Dari Mulut Presiden Umno, Bukan SU BN | Malaysia Top News
September 28, 2020

Puad: Calon PM Harus dari Mulut Presiden Umno, Bukan SU BN

Kuala Lumpur, MTN – Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Mohd Puad Zarkashi berkata sebarang pengumuman berkaitan dasar parti, termasuk soal calon perdana menteri, mestilah datang daripada mulut Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sahaja.

Beliau berkata demikian ketika menyambut baik saranan Ahmad Zahid agar ahli Umno tidak terheret dalam perbahasan mengenai calon perdana menteri.

“Kita berharap dalam soal dasar termasuk penyertaan Umno dalam Perikatan Nasional (PN) yang mungkin akan didaftarkan, mestilah kenyataan daripada mulut presiden Umno.

“Bukannya Setiausaha Agung BN atau Umno (Annuar Musa)

“Pemimpin PAS juga diharap menghormati spirit (semangat) Muafakat Nasional,” katanya kepada Malaysiakini malam tadi.

Kata Mohd Puad, kenyataan Ahmad Zahid itu “nampak berbeza” berbanding kenyataan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15, yang menurutnya datang daripada “individu tertentu” dan bukan daripada presiden.

Sedangkan, katanya, pendirian “individu tertentu” itu tidak pernah disepakati oleh Umno.

“Sebenarnya pendirian Umno seperti yang disepakati adalah konsisten. Muafakat Nasional adalah keutamaan.

“Ia nampak berbeza apabila terdapat kenyataan dari individu tertentu mengenai jawatan perdana menteri. Itu bukan yang disepakati dalam Umno sebelumnya,” katanya.

Oleh sebab itu, katanya, selepas kenyataan mengenai calon perdana menteri itu dilaporkan, ia menerima reaksi panas daripada beberapa ketua bahagian, termasuklah daripada Ku Li, atau Tengku Razaleigh Hamzeigh- yang merupakan pemimpin paling veteran dalam Umno ketika ini.

Tak pernah disepakati Umno

“Justeru, apabila presiden Umno membuat kenyataan rasmi bahawa isu jawatan perdana menteri jangan dijadikan polemik, maka ia meredakan keadaan.

“Sekurang-kurangnya kita maklum bahawa kenyataan awal sebelumnya bukan datang dari presiden Umno. Ia bukan keutamaan dan tidak pernah disepakati dalam Umno,” katanya lagi.

Sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri itu mula-mula disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Annuar Musa, merangkap setiausaha agung BN dan setiausaha bersama sekretariat Muafakat Nasional.

Perkara itu kemudiannya disokong oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pendirian tersebut mengundang reaksi kurang senang oleh beberapa pemimpin dan veteran Umno, termasuklah Mohd Puad sendiri, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah; Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin; bekas menteri Shahrir Samad dan Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub.

Susulan daripada itu, Ahmad Zahid kelmarin mengeluarkan kenyataan agar Umno tidak terheret sama dalam polemik perbahasan mengenai calon perdana menteri, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Sementara itu, ketika dihubungi malam tadi, Veteran Umno menggesa ahli-ahli parti melakukan “gencatan senjata” daripada mengeluarkan ramalan atau cadangan berhubung calon perdana menteri, susulan saranan yang dikeluarkan oleh Ahmad Zahid.

“Kita menghormati permintaan dan desakan presiden, supaya isu calon perdana menteri ini diadakan gencatan senjata dululah. Tak payah kita duduk bincang-bincang.

“Jadi saya rasa, kita mengambil kedudukan kita (untuk) patuhlah. Sepatutnya semua orang patuh. Berhenti buat sebarang ramalan, cadangan dan sebagainya,” kata Mustapha kepada Malaysiakini.

Terdahulu, selepas pendirian yang dikeluarkan oleh Annuar mengenai sokongan terhadap Muhyiddin, Mustapha ada mencadangkan nama Tengku Razaleigh sebagai calon perdana menteri yang layak.

Beliau juga disoal sekiranya terdapat perubahan dari segi pendirian menyokong Muhyiddin seperti dinyatakan sebelum ini.

Menjawab pertanyaan itu, berkata setakat ini, belum ada sebarang penafian dibuat, melainkan kenyataan terbaru Annuar yang dibuat kelmarin.

“Saya rasa setakat ini tak ada sebarang penafian lagilah. Ertinya, sokongan itu kekal.

“[…] Tapi tak guna lah kita nak ungkit-ungkit dah, sebab Ahmad Zahid dah kata begitu kan.

“Jadi kita patuh arahan presiden, kita cool down (bertenang) dan kita terima arahan itu untuk kebaikan. Kita patut menghormati arahan itu,” kata Mustapha lagi.

Dalam kenyataannya kelmarin, Annuar memberi kenyataan sedikit berbeza daripada kenyataannya yang terdahulu, bahawa Umno dan PAS dalam gabungan Muafakat Nasional akan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri jika pilihan raya diadakan secara mengejut.

Bagaimanapun, untuk masa yang “jauh ke depan”, kata Annuar, beliau sendiri tidak ada jawapannya.

“Politik ini benda yang dinamik. Pendirian kita sekarang, kita menyokong perdana menteri.

“Jika pilihan raya diadakan secara mengejut, kita bersama perdana menteri. Tapi selepas, itu, jika jauh ke depan, saya tak boleh jawab perkara yang terlalu jauh ke depan,” Annuar dipetik sebagai berkata. [mk]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •