Rompak Demokrasi, Kerajaan PN Akan Membayar Harga Mahal | Malaysia News

Rompak Demokrasi, Kerajaan PN Akan Membayar Harga Mahal

Rompak Demokrasi, Kerajaan PN Akan Membayar Harga Mahal

Kuala Lumpur, MTN – Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew View Keong berkata Perikatan Nasional (PN) perlu membayar harga yang mahal kerana “merompak” sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di negara ini.

Pandangan itu dibuat susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, yang memaklumkan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini hanyalah bagi mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong dan tidak melibatkan sebarang urusan lain.

Ia sekali gus menutup pintu untuk sebarang usul undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“(Saya rasa) jijik. Kerajaan pintu belakang ini telah mencuri hak demokrasi rakyat dengan mengadakan persidangan Dewan Rakyat dalam tempoh yang singkat.

“PN-GPS (Gabungan Parti Sarawak) ini harus membayar harga yang mahal kerana merompak sistem demokrasi berparlimen,” kata Liew kepada Malaysiakini, hari ini.

PH sebelum ini mendesak agar persidangan itu dilanjutkan dengan Liew menghantar usul meminta ia dipanjangkan sehingga lapan hari, tetapi PN menafikannya dengan menggunakan risiko jangkitan Covid-19 sebagai alasan.

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berjaya menghantar usul tidak percaya ke atas Muhyiddin dan diterima oleh Mohamad Ariff, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan menegaskan hanya usul kerajaan akan diutamakan.

Ambil risiko datang semenanjung

Ahli Parlimen Seputeh dari DAP Teresa Kok dalam respons segeranya berkata, perkembangan itu menunjukkan Muhyiddin terlalu takut untuk mengadakan sidang parlimen.

“Dia takut nak berhadapan dengan PH di parlimen,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepanggar Mohd Azis Jamman dalam satu kenyataan kemudian menegaskan kerajaan tidak boleh menggunakan alasan Covid-19 untuk menyingkatkan sidang Dewan Rakyat.

“Kerajaan berani melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kepada orang ramai dengan skala yang lebih besar berbanding hanya 222 orang ahli-ahli parlimen.

“Mengapa kerajaan takut pula untuk meneruskan sidang parlimen setidak-tidaknya selama tiga hari sebagaimana Dewan Undangan Negeri Sabah yang bersidang selama tiga hari tanpa seorang pun ahli-ahli dewan undangan negeri yang di dapati positif Covid-19 kerana menghadiri sidang dewan undangan negeri?” soalnya.

Selain itu, menurut Azis, semua ahli parlimen juga diwajibkan untuk membuat pemeriksaan Covid-19 pada 15 dan 16 Mei di Dewan Parlimen bagi memastikan kesemua mereka bebas virus tersebut.

“Saya mencadangkan jika Dewan Rakyat masih ingin mengekalkan susunan mesyuarat dengan hanya mendengar titah Yang di-Pertuan Agong, lebih baik agar persidangan dewan rakyat di lakukan hanya menggunakan aplikasi Zoom dengan ahli-ahli parlimen hanya duduk rumah,” katanya.

Langkah itu kata Aziz, tidak menyusahkan ahli-ahli parlimen khususnya yang datang dari Sabah kerana mereka bukan sahaja mengambil risiko untuk dijangkiti Covid-19 semasa berada di lapangan terbang dan kapal terbang, malah lebih teruk berdepan kemungkinan di kuarantin apabila pulang ke Sabah keesokkan harinya.

Malah, menurut Azis perkembangan semasa mengenai sidang Dewan Rakyat hari ini merupakan hari yang gelap bagi Parlimen di Malaysia sekali gus menandakan demokrasi sudah semakin mati.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply