Sebanyak 140,883 PKS Telah Mengambil Bahagian Dalam Platform E-Dagang | Malaysia News

Sebanyak 140,883 PKS Telah Mengambil Bahagian dalam Platform e-Dagang

Kuala Lumpur, MTN – Sebanyak 140,883 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menyertai platform e-Dagang setakat September 2020 berbanding 42,620 pada 2019, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, di bawah pelaksanaan Pelan Halatuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) yang bertujuan mempercepatkan penerapan e-Dagang dalam kalangan usahawan, penyertaan PKS di platform itu mencatat peningkatan yang ketara.

“Peningkatan perniagaan dalam talian turut dapat dilihat dalam statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sebanyak 85,901 syarikat dan perniagaan dalam talian didaftarkan sehingga 30 September 2020 berbanding 76,443 yang didaftarkan pada keseluruhan 2019,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Pendaftaran tertinggi dicatatkan pada Julai 2020 iaitu sebanyak 17,254 syarikat dan perniagaan dalam talian, katanya bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai perkembangan e-Dagang ketika COVID-19 dan program-program baharu kementerian bagi menggiatkan e-Dagang terutama dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Advertisement

Wan Junaidi berkata, selain program-program sedia ada, kementerian juga telah merangka dan melaksanakan program-program baharu bagi meningkatkan lagi adaptasi usahawan, terutamanya usahawan Bumiputera dalam e-Dagang.

Katanya, antara program-program itu adalah Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) yang bertujuan memperkukuhkan kemampuan dan kapasiti usahawan PKS menggunakan platform dalam talian e-dagang menerusi bimbingan intensif selama tiga bulan.

Turut diadakan adalah Pemasaran Online TEKUN yang bertujuan membuka dan meluaskan pasaran produk usahawan tempatan, selain pelaksanaan kursus e-Usahawan yang diadakan menerusi kerjasama TEKUN dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kata Wan Junaidi.

[bernama]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •