Selangor FC Bina Kerjasama Dengan MBSA | Malaysia News

Selangor FC Bina Kerjasama dengan MBSA

MTN – Selangor FC menjalinkan kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam usaha pasukan itu memperkasakan bola sepak di peringkat akar umbi di negeri ini.

Selangor FC dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama antara pasukan Gergasi Merah itu bersama MBSA, bakal menyalurkan kepakaran dan perkongsian strategik lain seperti logistik serta fasiliti sukan berkenaan.

“MBSA merupakan antara entiti yang banyak menyokong usaha membangunkan bola sepak di negeri ini, melalui pembabitan pasukan bola sepak yang bertanding di liga peringkat negeri serta akademi bola sepak.

“MBSA juga banyak memberi perhatian kepada pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dan bakal memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak,” maklum kenyataan tersebut.

Kerjasama strategik antara dua pihak itu dilaksanakan dalam satu majlis ringkas di FAS Training Centre, dekat sini, semalam, apabila MBSA menyumbangkan dana tunai sebanyak RM500,000 sebagai tajaan kepada pasukan Selangor FC dalam menghadapi musim 2021.

Majlis perjanjian kerjasama itu turut disaksikan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah merangkap Pengerusi Selangor FC dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan yang sama berharap kerjasama strategik pihaknya bersama MBSA akan mengembalikan zaman kegemilangan Gergasi Merah dan lebih banyak entiti korporat lain turut tampil memberi sumbangan.

Advertisement

“Selangor FC mengucapkan terima kasih atas sumbangan wang tunai, kepakaran dan logistik yang diberikan oleh pihak MBSA dan sudah tentu sumbangan ini akan memperkemaskan lagi persediaan pasukan Selangor untuk musim 2021.

“Ini termasuk program pembangunan pasukan elit di bawah Selangor FC, terutamanya setelah pasukan ini telah diswastakan sebagai pasukan bola sepak profesional sejak Disember lalu,” katanya.

Sementara itu, Johan berkata pasukan Selangor FC sedang menjalani persediaan rapi bagi beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga Super 2021 bermula pada hujung Februari ini.

Dalam pada itu, Haris dalam kenyataan yang sama berkata kerjasama erat antara Selangor FC dan MBSA sudah lama terjalin dan bandar raya Shah Alam juga cukup sinonim sebagai ‘rumah’ kepada pasukan Gergasi Merah.

“Oleh itu, MBSA merasa terpanggil untuk memainkan peranan sebagai antara rakan strategik untuk pasukan Selangor,” katanya.

 

[MK]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •