Shahrir: Tak Mudah Umno Tinggalkan ‘Dacing’ dalam PRU15
Shahrir: Tak Mudah Umno Tinggalkan ‘Dacing’ dalam PRU15
Kuala Lumpur, MTN – Bagi pemimpin Umno Shahrir Samad, tidak mudah untuk parti itu, yang kini berada dalam gabungan pemerintah Perikatan Nasional (PN), untuk mengenepikan BN dan lambang dacing dalam PRU akan datang.
Menerusi satu hantaran di Facebook semalam, bekas anggota Parlimen Johor Bahru itu membayangkan PN sekadar “gabungan pilihan raya” tanpa menggunakan satu lambang yang sama.
“Saya tak percaya begitu mudah untuk kepimpinan Umno di semua peringkat untuk terus mengenepikan BN dan tidak lagi memakai lambangnya dalam PRU akan datang.
“Betul buat seketika selepas PRU14, ada anggota BN yang menolak menggunakan lambangnya, tapi setakat satu PRK sahaja.
“(Selepas itu) terbukti penerimaan pengundi di PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, MCA tetap menggunakan lambang BN di Tanjung Piai. Menang bergaya pula,” katanya dalam hantaran yang disertai dengan tanda pagar #balikasal dan #MuafakatNasional.
Beliau merujuk MCA yang menggunakan lambang partinya sendiri ketika PRK Balakong pada Ogos 2018, yang menyaksikan calonnya kalah besar kepada calon PH daripada DAP.
Setakat ini PN belum didaftarkan secara rasmi dan beberapa pemimpin kanan Umno sebelum ini menyuarakan keberatan untuk ke arah itu.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum ini juga dilaporkan menolak penubuhan PN.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata soal kedudukan PN, sama ada sebagai satu gabungan pilihan raya atau lebih daripada itu, akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan jawatankuasa Muafakat Nasional dalam masa terdekat.
“Bersatu dan parti Azmin lebih mungkin diisytihar sebagai PN. Parti Azmin akan mewakili orang bukan Melayu seperti MCA, MIC dan parti komponen lain dalam BN. Dan masing-masing akan menggunakan lambang pilihan raya sendiri.
“Jika (PN) setakat satu perjanjian pilihan raya, soal yang perlu dirunding ialah pembahagian kerusi antara BN, PAS dan PN, serta penggubalan satu tawaran kepdaa pengundi,” katanya lagi.
Menurut laporan Straits Times Singapura minggu lalu, satu persetujuan telah dicapai dalam pertemuan antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pimpinan Umno pada 7 Jun lalu, untuk membentuk “jawatankuasa teknikal” mengenai pembahagian kerusi.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi memberitahu Malaysiakini bahawa laporan mengenai kewujudan “jawatankuasa teknikal” tidak benar.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri