Siapa Zarul Ahmad – Individu Ttama Kes Rasuah Guan Eng
Siapa Zarul Ahmad – Individu Ttama Kes Rasuah Guan Eng
Kuala Lumpur, MTN – Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini dikenakan tuduhan rasuah kedua. Selain Lim, satu lagi nama yang sering dikaitkan dengan kes ini ialah Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Zarul mendapat perhatian selepas menjadi wajah umum kepada sebuah konsortium yang pada tahun 2013 diberikan peranan untuk melaksanakan projek infrastruktur besar-besaran, iaitu tiga lebuh raya bahagian pulau di Pulau Pinang dan terowong bawah laut di seberang Selat Pulau Pinang.
Sebelum itu, ahli Umno berusia 60 tahun itu dikenali sebagai tokoh korporat yang mempunyai hubungan baik yang bermula sebagai setiausaha syarikat dan kemudiannya terlibat dengan pelbagai syarikat, daripada IT sehinggalah pembinaan.
Melalui hubungan Zarul juga, Beijing Urban Construction Group Co Ltd (BUCG) yang berpangkalan di China dibawa masuk untuk menjadi sebahagian daripada konsortium yang memenangi kontrak projek infrastruktur bernilai RM6.3 bilion pada tahun 2013. Projek ini pada awalnya dianggarkan bernilai RM8 bilion.
Konsortium berkenaan, Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, terdiri daripada Zenith Construction Sdn Bhd yang diterajui Zarul, BUCG, Juteras Sdn Bhd, dan Sri Tinggi Sdn Bhd.
Walau bagaimanapun, BUCG dikeluarkan daripada projek itu pada tahun 2016, dikatakan berpunca daripada kejadian yang tidak berkaitan di Kuala Lumpur, di mana sebuah kren yang dikendalikan oleh syarikat itu jatuh dan menghempap seorang wanita di dalam keretanya.
BUCG kemudiannya dikeluarkan dari nama konsortium.
Projek di Pulau Pinang itu menghadapi pelbagai bantahan sejak awal lagi, melibatkan pelbagai isu, daripada kebimbangan mengenai masalah alam sekitar sehinggalah isu kestabilan kewangan, tetapi peranan Zarul yang paling menonjol muncul pada tahun 2016.
Cadangan pembinaan terowong bawah laut dan tiga lebuh raya tersebut menjadi senjata politik BN untuk menyerang projek itu, manakala Zarul sebagai pengerusi konsortium, berada di barisan depan untuk mempertahankan inisiatif berkenaan.
Pada Januari 2018, SPRM melakukan beberapa serbuan berkaitan projek tersebut dan Zarul ditangkap dan direman selama 11 hari. Sehingga kini tidak ada tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Zarul (gambar, bawah) meminta wang dikembalikan selepas penangkapan itu.
Selanjutnya, dilaporkan Zarul telah meminta pertolongan untuk mempengaruhi anggota kerajaan persekutuan BN ketika itu supaya menggugurkan kes tersebut.
Zarul didakwa membayar RM19 juta kepada seorang “Datuk Seri” yang kononnya mendakwa dia mempunyai hubungan dengan anggota kanan kerajaan BN pada masa itu yang boleh menghentikan tindakan SPRM.
Zarul juga didakwa membayar RM3 juta lagi kepada seorang “Datuk” untuk menggunakan hubungannya dengan seorang ahli parlimen kerajaan untuk tujuan yang sama.
Kedua-dua insiden itu terbongkar apabila Zarul pada 24 Februari 2018 – sebulan selepas penangkapannya – mengeluarkan surat tuntutan melalui konsortiumnya, meminta wang itu dikembalikan setelah mereka nampaknya gagal mendapat kesepakatan dalam ‘tawar-menawar’ yang dibuat. Wang itu disebut sebagai “yuran perundingan”.
Zarul percaya “Datuk” itu ialah wakil kepada Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim dan oleh itu mengarahkan surat tuntutan itu kepadanya.
Abdul Azeez menafikan isi surat tuntutan Zarul dan membuat laporan polis.
Menurut Azeez, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd kemudian menarik balik surat tuntutan itu dan meminta maaf. Syarikat itu bagaimanapun tidak memberi sebarang komen.
Sementara itu, seorang “Datuk Seri” yang juga ahli perniagaan berusia 39 tahun, G Gnanaraja, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada bulan April 2019 kerana didakwa menipu Zarul mendakwa dirinya mempunyai hubungan politik untuk membuat SPRM menutup kes tersebut dengan bayaran RM19 juta.
Zarul, pada bulan Julai 2018, mengaku melakukan pembayaran itu tetapi mendakwa dia berbuat demikian kerana diugut.
‘Pistol diacu ke kepala saya’
“Mereka meletakkan pistol ke kepala saya. Jika kami tidak bayar, kami akan dapat masalah.
“Semasa kerajaan lalu, ketika orang membuat ugutan, anda menganggapnya serius, kerana anda tidak tahu apakah perkara yang akan berlaku kepada anda atau tidak, jika itu benar atau tidak, ia berbeza ketika itu.
“Saya menganggapnya serius. Bagi saya, saya hanya mahu meneruskan perniagaan saya. Saya tidak mempunyai niat atau minat untuk menjadi sebahagian daripada sengketa politik,” katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini, dua bulan selepas kerajaan PH mengambil alih pentadbiran persekutuan daripada BN.
Zarul berkata, dia akhirnya membuat laporan SPRM mengenai pembayaran tersebut.
Kerajaan PH runtuh pada Februari selepas 22 bulan memerintah negara dan digantikan kerajaan PN.
Meneliti perkembangan semasa, di bawah kerajaan baru PN, kemungkinan besar Zarul akan menjadi saksi utama dalam kes rasuah Lim.
Lim, yang berkhidmat sebagai ketua menteri Pulau Pinang dari 2013 ke 2018 dan sebagai menteri kewangan dari 2018 ke Februari tahun ini, pada Jumaat lalu (7 Ogos) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan dari Zarul sebanyak 10 peratus keuntungan yang akan dibuat projek infrastruktur di Pulau Pinang itu kerana membantu mendapatkan kontrak.
Hari ini (10 Ogos), Lim dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas tuduhan rasuah sebanyak RM3.3 juta kerana dikatakan membantu syarikat Zarul menjalankan projek bernilai RM6.3 bilion itu.
Kertas pertuduhan itu tidak menyatakan sifat suapan RM3.3 juta yang didakwa, tetapi pihak pendakwaan, yang memohon untuk memindahkan pertuduhan kedua ke Kuala Lumpur supaya dapat dibicarakan dengan pertuduhan pertama, memberikan beberapa butiran.
Pihak pendakwaan mengatakan rasuah itu didakwa dibayar secara berperingkat, di beberapa tempat antaranya dilakukan di Lembah Klang.
Tuduhan pertama di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan, manakala pertuduhan kedua pula di bawah Seksyen 23 undang-undang sama yang membawa hukuman serupa.
Lim, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu, dijangka akan dituduh dengan pertuduhan ketiga esok tetapi butiran lanjut masih belum tersedia.
Projek infrastruktur yang dirancang merangkumi:
1. Expressway Bypass Ayer Itam-Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7km.
2. Expressway Tanjung Bungah-Teluk Bahang sepanjang 10.53 km.
3. Expressway Bypass Gurney Drive-Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 4.075km.
4. Terowong menghubungkan Gurney Drive dan Bagan Ajam sepanjang 7.2km.
Projek di atas menelan anggaran RM5.49 bilion manakala kajian kebolehlaksanaan akan menelan belanja RM305 juta dan RM546 juta untuk pengambilan tanah, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar RM6.341 bilion.
Kerja-kerja awal telah dimulakan di lebuh raya tetapi pembinaan terowong itu dijangka akan bermula pada tahun 2023.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri