Speaker: Terima Usul Tak Percaya Dr M Ke Atas Muhyiddin | Malaysia News

Speaker: Terima Usul Tak Percaya Dr M ke Atas Muhyiddin

Speaker: Terima Usul Tak Percaya Dr M ke Atas Muhyiddin

Kuala Lumpur, MTN – Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof hari ini menerima usul Anggota Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mohamad Ariff telah membalas notis yang dihantar Mahathir, dengan memaklumkan usul tersebut di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

“…usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Perkara 27 (3) menyatakan bahwa setiap pemberitahuan perlu disampaikan tidak kurang dari 14 hari terlebih dahulu kecuali jika atas nama menteri maka memadailah pemberitahuan dikeluarkan tujuh hari sahaja.

Ia juga menyatakan jika speaker berpuas hati dengan sesuatu notis itu “setelah diterangkan kepadanya oleh seseorang menteri iaitu bagi faedah orang ramai sesuatu usul itu mustahak dibahaskan dengan seberapa segeranya maka memadailah dikeluarkan pemberitahu itu satu hari sahaja terlebih dahulu.”

Bagaimanapun, tidak jelas usul tidak yakin perdana menteri berkenaan akan dibahaskan pada sidang 18 Mei ini atau pada sidang Dewan Rakyat yang seterusnya.

Setiausaha Dewan Rakyat pada 17 April lalu telah mengeluarkan notis kepada semua anggota parlimen mengenai sidang yang akan diadakan pada 18 Mei ini.

Bagaimanapun berbeza daripada biasa, sidang tersebut hanya berlangsung selama sehari. Ia juga hanya akan membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan saja.

Tiada sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, usul atau kamar khas akan diadakan.

Usul kekal speaker ke akhir penggal

Terdahulu, dilaporkan Dr Mahathir telah menghantar surat kepada Mohamad Arif pada 4 Mei mendakwa Muhyiddin tidak ada sokongan majoriti anggota parlimen.

Selain itu, Mahathir juga telah mengemukakan permohonannya untuk mengemukakan usul supaya mengekalkan Mohamad Ariff sebagai speaker sehingga ke akhir penggal.

Usul ini juga turut ditolak Mohamad Ariff.

Notis yang ditolak speaker ini menyusuli usaha Anggota Parlimen Semporna Shafie Apdal untuk mengemukakan usul percaya kepada Dr Mahathir.

Bagaimanapun, pejabat Dewan Rakyat telah menjawab bahawa usul tersebut melanggar Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri.

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP PKR yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Bagaimanapun, Dr Mahathir telah membayangkan rancangannya untuk kembali menguasai Bersatu pada pemilihan parti akan datang dan membawa Bersatu keluar daripada kerajaan PN.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply