SPR Rekod 486 Laporan Kesalahan Dalam PRK | Malaysia News

SPR Rekod 486 Laporan Kesalahan Dalam PRK

SPR Rekod 486 Laporan Kesalahan Dalam PRK

SPR Rekod 486 Laporan Kesalahan Pilihan Raya Dalam Sembilan Kempen PRK

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 486 laporan kesalahan pilihan raya dalam sembilan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata daripada jumlah itu sebanyak 30 laporan polis telah dibuat oleh SPR dan ia masih lagi dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Antara kesalahan pilihan raya yang merekodkan bilangan tinggi adalah melibatkan kesalahan bahan kempen pilihan raya yang (statik), kedua, melibatkan ceramah atau taklimat atau syarahan dan ketiga kesalahan bahan kempen yang diedarkan (edaran).

“Manakala kesalahan pilihan raya yang direkodkan semasa hari mengundi ialah berkaitan pewujudan barung atau pondok panas, aktiviti merayu atau meraih undi dan kenderaan dengan logo parti yang memasuki zon larangan jarak 50 meter,” katanya pada sesi pertanyaan lisan.

Beliau menjawab soalan Senator Sopiah Sharif yang ingin tahu kesalahan pilihan raya yang dikesan sepanjang pilihan raya kecil sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara termasuk PRK Tanjung Piai di Johor.

Mohamed Hanipa berkata bagi kesalahan pilihan raya semasa PRK di Tanjung Piai, sebanyak 188 kesalahan direkodkan SPR yang mana kebanyakannya hampir sama dan berulang, antaranya kesalahan bahan kempen statik sebanyak 98 kes.

“Seterusnya kesalahan pada hari mengundi ialah berkaitan pewujudan barung atau pondok panas iaitu 31 kesalahan dan kesalahan aktiviti meraih atau merayu undi berdekatan dengan pusat mengundi dengan jumlah 41 kesalahan,” kata Mohamed Hanipa.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 41 laporan polis dan empat laporan SPRM direkodkan berkaitan PRK tersebut.

Kesemua laporan itu masih dalam tindakan siasatan kedua-dua agensi berkenaan.

– BERNAMA

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply