Susulan Sabitan Najib, PAS Tetap Komited Kerjasama Dengan Umno | Malaysia Top News
August 9, 2020

Susulan Sabitan Najib, PAS Tetap Komited Kerjasama dengan Umno

Kuala Lumpur, MTN – PAS menegaskan komitmennya terhadap kerjasama dengan Umno susulan keputusan bersalah yang dijatuhkan mahkamah terhadap bekas presiden Umno Najib Razak semalam.

Perkara itu disuarakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan semalam.

“PAS mengambil sikap akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Najib hari ini (semalam).

“Walau dalam apa keadaan sekalipun, PAS menzahirkan komitmen bersama Umno dalam Muafakat Nasional di samping terus memperkukuh kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan – satu salah guna kuasa, tiga pecah amanah dan tiga pengubahan wang haram – berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes yang dibawa pasukan pendakwaan.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun bagi 7 pertuduhan jenayah membabitkan SRC International – 10 tahun penjara bagi tiga kesalahan untuk kes pecah amanah, dan 10 tahun penjara bagi tiga kesalahan pengubahan wang haram, dan 12 tahun bagi satu kesalahan salah guna kuasa.

Hukuman itu akan dijalankan serentak, yang menjadikan tempoh sebenar hukuman penjara ialah 12 tahun. Najib juga didenda RM210 juta.

Bagaimanapun hakim membenarkan hukuman ditangguh sementara menunggu rayuan Najib.

Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang berkata pihaknya yakin Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah di peringkat rayuan nanti.

“PAS menghormati proses mahkamah yang berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang yang didukung oleh kerajaan PN,” katanya lagi.

Susulan keputusan semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran pihaknya akan membuat satu “keputusan politik besar”.[mk]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •