Teka-teki Pendamping Muhyiddin Sebagai TPM | Malaysia News

Teka-teki Pendamping Muhyiddin Sebagai TPM

Teka-teki Pendamping Muhyiddin Sebagai TPM

Kuala Lumpur, MTN – Siapa bakal timbalan perdana menteri yang akan bergandingan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus menjadi tanda tanya.

Di atas kertas, berdasarkan kepada jumlah anggota parlimen, Umno dilihat cukup dominan bagi menduduki kerusi berkenaan, di samping pengalaman yang dimiliki oleh pemimpinnya sebelum ini.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semalam secara terbuka dilaporkan menolak sebarang jawatan untuk berada dalam kabinet Muhyiddin.

Keputusan Zahid dilihat mengambil kira sentimen masyarakat dan memberi ruang kepada Muhyiddin untuk membentuk kabinet tanpa sebarang masalah.

Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri kini sedang berdepan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Penting bagi Zahid yang sedang dibicarakan untuk membersihkan namanya terlebih dulu sebelum menyertai kembali kabinet.

Percaturan politik Zahid tepat bagi menjamin jangka hayat kerajaan PN dan beliau tidak perlu terburu-buru kerana kerajaan ini paling lama hanya tiga tahun.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan dilihat antara calon layak untuk menduduki kerusi timbalan perdana menteri berdasarkan kapasitinya selaku orang nombor dua dalam Umno.

Pegang menteri kanan

Watak Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Tok Mat mahupun Mat Hasan cukup disenangi akar umbi Umno, apatah lagi imej beliau juga dilihat bersih.

Sayangnya beliau hanyalah seorang Adun Rantau. Bukanlah tidak boleh untuk dilantik sebagai senator dan kemudiannya diangkat sebagai timbalan perdana menteri, namun agak kekok jika jawatan paling kanan itu hanya dipegang oleh seorang senator.

Antara tiga Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob (gambar, atas), Mahdzir Khalid dan Khaled Nordin juga, Ismail dilihat orang yang boleh dicalonkan ataupun dicadangkan Umno kepada Muhyiddin untuk diangkat menjadi TPM.

Malah, nama Ismail disebut-sebut dalam kalangan ahli dan pemimpin Umno.

Bukan itu saja, Ismail juga pada era pentadbiran BN di bawah bekas perdana menteri Najib Razak memegang jawatan menteri kanan dalam kabinet.

Mengapa Ismail, kenapa tidak Mahdzir ataupun Khaled, jawapannya mudah saja kerana Mahdzir yang juga bekas menteri pendidikan turut terpalit dengan isu penyelewengan projek tenaga solar yang dikaitkan isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor.

Untuk rekod, Mahdzir tampil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes Rosmah yang didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sementara itu, Khaled yang juga bekas menteri besar Johor tentunya terkeluar daripada senarai kerana beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Adakah Setiausaha Agung Umno Annuar Musa akan dipilih? Bagi penulis ia adalah sesuatu yang mustahil.

Selain mereka yang berjawatan dalam Umno, nama bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein juga disebut sebagai calon timbalan perdana menteri.

Hadi turut disebut

Rasanya agak sukar. Pertama Hishammuddin tidak memegang apa-apa jawatan lagi dalam Umno. Kedua beliau juga adalah dari negeri yang sama dengan Muhyiddin iaitu Johor.

Pun begitu ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana Hishammuddin dikatakan telah “memegang” sebahagian anggota parlimen Ummo kini selain mempunyai pengalaman dan pernah diberi kepercayaan besar oleh Najib sebelum ini.

Tetapi ada kedengaran juga yang beliau akan kembali ke Kementerian Pertahanan.

Nama Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga turut disebut dan dicadangkan oleh segelintir kecil pemimpin akar umbi Bersatu supaya berganding dengan Muhyiddin di Putrajaya.

Pada sidang media di Rusila, Terengganu, semalam Hadi berkata beliau “tidak syok” apabila namanya dicalonkan bagi jawatan paling kanan itu.

Hadi mungkin dapat membaca cadangan supaya beliau dilantik bagi jawatan itu adalah “cadangan nakal” yang bertujuan untuk menyindir Umno.

Meskipun Hadi turut memainkan watak utama dalam pembentukan kerajaan PN, tetapi ada yang melihat tokoh ulama dunia itu tidak sesuai untuk jawatan timbalan perdana menteri.

Jawatan timbalan perdana menteri harus diberikan kepada orang yang berpegalaman untuk berurusan dengan negara dunia lain dan mempunyai kemampuan mengganti perdana menteri dalam urusan tertentu jika perlu.

Bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali yang kini bersama Bersatu pada awalnya dilihat sebagai calon timbalan perdana menteri ketika bersama Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, dalam PN Azmin dilihat tidak mempunyai kekuatan untuk menduduki kerusi itu dengan jumlah anggota Parlimen yang beliau bawa, selain masih tandus pengalaman.

Malah, jika Azmin dilantik juga ia mungkin akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan Umno ataupun PAS.

Apakah sejarah baru negara akan tercipta apabila jawatan timbalan perdana menteri akan disandang pemimpin dari Borneo.

Mengambil kira situasi semasa dan kedudukan pemimpin utama Umno berdepan pertuduhan di mahkamah, tidak mustahil sekiranya Muhyiddin berganding dengan pemimpin GPS dari Sarawak.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply