Mahathir

TUN MAHATHIR SUDAH TEPU, UNDUR AWAL BAWA LEBIH KEBAIKAN KEPADA NEGARA

Mahathir
Dalam satu temubual dengan Bloomberg beberapa hari lalu, Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sebelum tempoh dua tahun sebagaimana yang telah ditetapkan. Bagaimanapun, kata Presiden PKR itu, sehingga tempoh peralihan kuasa tersebut berlaku, Tun Mahathir Mohamad harus diberikan sokongan agar dapat memimpin kerajaan dengan efektif. “Sudah tentu (peralihan kuasa) bukan dalam tempoh lima tahun kerana Tun Mahathir telah menjelaskan tempohnya memegang jawatan tidak akan melebihi dua tahun,” jelas Anwar lagi. Mesej yang jelas daripada kata-kata Anwar ini ialah Tun Mahathir tidak harus lupa mengenai janji peralihan kuasa yang telah dipersetujuinya itu. Malah, ia juga suatu isyarat kepada pendokong Tun Mahathir agar jangan cuba-cuba mengheret Perdana Menteri ke arah perlanjutan tempoh khidmatnya melebihi daripada dua tahun. Realitinya, selagi semua janji dipatuhi dan tidak cuba diengkari, kedudukan PH akan terus stabil serta kekal menjadi pilihan rakyat. Lagi pula, melihat kepada kedudukan kerajaan sejak sembilan bulan lalu yang dipimpin Tun Mahathir yang semakin hari semakin jauh daripada hati rakyat – jujur cakap – sebenarnya adalah lebih baik jika beliau sedia memberi laluan lebih awal lagi kepada Anwar. Tun Mahathir dilihat sudah jadi pemimpin yang tepu dan tidak mampu pergi lebih jauh lagi. Tun Mahathir sekarang bukan lagi Tun Mahathir yang dulu. Auranya sebagai pembangkang dan alat ketika mahu menumbangkan Najib Razak mungkin diperlukan, tetapi apabila sudah mengetuai kerajaan, situasinya sudah jadi berbeza. Kegagalan beliau mengurus kerajaan dengan baik sehingga pelbagai kekecamukan berlaku dengan sendirinya menjadikan auranya telah meluntur. Di sebalik pemotongan segala macam kemudahan kepada rakyat dengan alasan kerajaan tiada wang, ideanya untuk mewujudkan kereta nasional ketiga dan mengembalikan perlumbaan F1 misalnya, tidak lebih menunjukkan Tun Mahathir masih dengan gaya pemikiran lama atau seperti era 80-an lagi. Dunia kini sudah banyak berubah dan lebih memerlukan industri baru yang sesuai dengan perkembangan teknologi maya, mesra alam serta mampu menjana lebih peluang pekerjaan dan pendapatan. Dua syarikat kereta yang sedia ada pun tercungap-cungap, menambah lagi kepada tiga bukanlah keputusan yang bijak dalam suasana ekonomi semasa yang muram ketika ini. Ketepuan itu jugalah yang dalam waktu yang singkat saja telah menjadikan Najib lebih dikerumuni rakyat sejak akhir-akhir ini. Dulu, ke mana saja Tun Mahathir pergi, pasti berkerumun orang ramai mahu bersalam, bergambar dan berselfie dengannya. Namun, kebelakangan ini nampaknya beliau tidak lagi dipedulikan sebagaimana dahulu. Ketika singgah ke Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan dan minum pagi di Kelana Jaya baru-baru ini misalnya, ternampak tiada lagi yang ghairah mahu mendekatinya. Sebaliknya aura itu sudah berpindah kepada Najib. Ke mana saja Najib pergi, sambutan hangat yang Tun Mahathir biasa terima sebelum ini sudah berpindah kepada anak Tun Razak itu. Rakyat, terutama anak-anak muda mengerumuni Najib hanyalah untuk menunjukkan protes mereka terhadap kerajaan dan kepimpinan Tun Mahathir yang jelas telah gagal memberi khidmat lebih baik berbanding BN dahulu. Untuk itu, dalam keadaannya yang sudah tepu itu, selagi Tun Mahathir ada, keadaan negara tidak mungkin jadi bertambah baik. Beliau semakin tersisih daripada hati rakyat. Tun Mahathir juga tidak perlu lagi terus atau terlalu ghairah mahu mencatur kuasa dalam usianya sekarang ini. Dapat menjadi Perdana Menteri buat kali kedua sudah merupakan sebesar-besar rahmat buatnya. Jangan lagi sibuk-sibuk mahu menentukan pemimpin lain selain Anwar sebagai penggantinya. Tumpu saja bekerja untuk negara. Tun Mahathir harus ingat kepada pengakuannya sendiri yang beliau selama ini tidak pernah betul dalam memilih penggantinya. Tun Abdullah Badawi dan Najib adalah dua pengganti yang dipilih dan diusahakannya sehingga berjaya, tetapi akhirnya begitu mengecewakannya sehingga bertukar menjadi musuhnya. Maka itu, Tun Mahathir perlu menitikkan noktah dalam soal ini. Penggantinya sudah ada. Anwar sebagai pengganti yang dipilih dan dipersetujui Majlis Presiden PH harus diterima dengan sepenuh hati tanpa keraguan oleh Tun Mahathir. Hanya itu yang dapat menjamin PH akan kekal stabil dan negara tidak terjerumus ke dalam kancah ketidaktentuan yang berpanjangan. – Shahbudin Husin
Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Post Author: ab bima

Leave a Reply