UTeM Hasilkan Produk Alternatif Plastik Organik | Malaysia Top News
February 27, 2021

UTeM Hasilkan Produk Alternatif Plastik Organik

Kuala Lumpur, MTN – Kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Dr Mohd Hafidzal Mohd Hanafi telah membangunkan produk inovasi Alternatif Plastik Organik (APO) yang juga dikenali sebagai Organic Plastic Alternative (OPA).

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, produk itu mempunyai keunikan tersendiri kerana ianya berasaskan daripada minyak masak terpakai yang digunakan semula.

“Produk ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan produk plastik sedia ada yang dihasilkan daripada polimer berasal daripada minyak petroleum mentah yang sangat toksik dan merbahaya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hafidzal, mereka memilih untuk membangunkan APO berdasarkan faktor ingin bersama menjaga kelestarian dan ekosistem alam sekitar dengan penggunaan semula minyak masak terpakai.

“Langkah ini dapat mengurangkan kesan sisa minyak terhadap saliran air yang boleh menyebabkan pencemaran permukaan air serta gangguan bekalan oksigen terhadap hidupan akuatik.

“APO ini berfungsi selepas minyak masak terpakai ini dicampurkan bersama bahan organik dan juga penghablur untuk menjadikan produk bersifat seperti plastik.

“Antara bahan yang digunakan adalah minyak masak terpakai yang telah dirawat dan digunakan semula serta mesra alam bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar,” ujarnya.

Advertisement
Kumpulan penyelidik APO turut merangka kerjasama bersama dengan organisasi lain.

Tambahan lagi, APO dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai Dr Hafidzal bersama empat pensyarah FKM Nurul Hanim Razak, Ts. Dr. Asriana Ibrahim, Dr. Nur Izyan Zulkafli dan Prof Madya Ir. Ts.Dr Mohd Rizal Alkahari.

Turut terlibat dua pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) iaitu Dr. Ridhwan Jumaidin dan Dr. Mohd Taufik Taib serta empat orang penuntut FKM iaitu Nurin Aina Syafiqah Shahrum, Farah Farzana Adrizal, Anis Ainaa Omar dan Nurul Afwanisa Ab Razak.

Penyelidikan produk inovasi APO bermula pada tahun 2013 sehingga kini menerusi geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) dari UTeM dan geran FRGS daripada KPT.

Pihak UTeM juga turut merangka proses kolaborasi dengan Perbadan Teknologi Hijau Melaka di samping memperluaskannya dalam sektor industri percetakan 3D kerana kos produk adalah rendah dan efektif.

 

[MG]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •