Varian Baharu, Omicron - Pelitup Muka Diwajibkan Semula Di Britain | Malaysia News

Varian Baharu, Omicron – Pelitup muka diwajibkan semula di Britain

Boris Johnson

Varian Baharu, Omicron – Pelitup muka diwajibkan semula di Britain

London, MTN – Pemakaian pelitup muka akan diwajibkan semula kepada semua rakyat Britain ketika mengunjungi tempat-tempat awam seperti kedai dan dalam pengangkutan awam mulai minggu depan susulan kebimbangan ke atas varian baharu, Omicron.

Bagi pengembara yang memasuki negara itu pula perlu menjalani ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) sementara mereka yang berkemungkinan mempunyai kontak dengan varian baharu itu harus melakukan kuarantin kendiri meskipun sudah melengkapkan pengambilan vaksin.

Namun demikian, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson membayangkan sambutan Krismas pada kali ini ‘dianggap lebih baik’ berbanding tahun lalu,

BBC yang memetik Johnson sebagai berkata, langkah itu hanya bersifat sementara dan pencegahan.

Beliau membuat pengumuman itu di Downing Street selepas dua kes melibatkan varian Omicron dikesan di Brentwood, Essex dan Nottingham.

Pihak berkuasa melaporkan, kedua-dua kes itu dipercayai mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Selatan.

Mengulas lanjut, Johnson memberitahu, para saintis mendapati varian itu lebih ganas berbanding Delta dan merebak dengan pantas termasuk mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin.

Menurut beliau lagi, kerajaan akan mengkaji semula garis panduan baharu itu dalam tempoh tiga minggu, sama ada untuk meneruskan garis panduan yang sama atau melakukan penambahbaikan.

Dalam perkembangan berasingan di Australia, CNA yang memetik jurucakap rasmi Kementerian Kesihatan mengesahkan, kes pertama varian baharu Omicron membabitkan dua penumpang dari Afrika Selatan dikesan di negara itu.

Mereka disahkan dijangkiti varian baharu itu selepas ujian saringan COVID-19 dilakukan sebaik sahaja mendarat di Sydney pada Sabtu.

Laporan itu juga mendedahkan kedua-dua penumpang yang sudah lengkap dua dos vaksin menaiki pesawat Qatar Airways menerusi Doha dan disahkan tiada sebarang gejala.

Sementara itu 12 lagi penumpang dari Afrika Selatan yang menaiki pesawat sama didapati negatif COVID-19 namun diarah menjalani kuarantin.

Sebanyak 120 penumpang yang menaiki pesawat sama itu juga diminta untuk menjalani kuarantin. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply