11 Pemain Wanita Kebangsaan Tawarkan Masuk U | Malaysia News

11 Pemain Wanita Kebangsaan Tawarkan Masuk U

11 Pemain Wanita Kebangsaan Tawarkan Masuk U

Kuala Lumpur, MTN – Sebelas pemain skuad bola sepak wanita kebangsaan yang baru pulang dari saingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin kini mengorak langkah ke menara gading selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Seramai sembilan pemain skuad Malayan Tigress diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) manakala dua lagi ditawarkan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran bagi sesi 2021 itu disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu majlis di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) petang lalu, sambil disaksikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram serta dua EXCO FAM, Datuk Suraya Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, masing-masing selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

Suraya berkata, kerjasama antara FAM serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang terjalin jelas menunjukkan betapa pendidikan itu memainkan peranan besar dalam karier seorang pemain bola sepak.

“Menerusi inisiatif ini, kita dapat menghargai jasa serta sumbangan pemain-pemain ini yang memerah keringat demi mengharumkan nama negara. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Hamidin atas sokongan tidak berbelah bagi terhadap bola sepak wanita negara. Semoga barisan pemain yang menerima tawaran menyambung pengajian pada hari ini dapat menimba pengalaman serta dapat menamatkan pengajian sebaik mungkin,” kata Suraya.

Sembilan pemain yang ditawarkan ke UPNM adalah Nurul Azurin Mazlan, Eva Olivianie Antinus, Waitie TaminDatuk Seri g, Nurfatin Rozani, Henrietta Justine, Nur Syafinaz Abdul Rajak, Felicia Loudea Thomas, Nor Ezza Ashikin dan Nurul Arliana Nabila Mohamad Ramadhan manakala Nuralyaa Natasha Zulkefli dan Grace Handirian ditawarkan ke UiTM.

[BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply