MPOB: Saham Minyak Sawit Meletus Secara Drastik
MPOB: Saham Minyak Sawit Meletus Secara Drastik
Kuala Lumpur, MTN – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan stok minyak sawit negara berada pada 2.1 juta tan metrik untuk mengakhiri tahun ini sekurang-kurangnya pada paras semasa sebanyak 2.25 juta tan metrik, susulan permintaan yang berterusan untuk minyak makan di tengah-tengah pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan.
Pengawal selia industri telah mencapai sasaran awal yang dibuat pada awal tahun ini bagi mengurangkan stok minyak sawit Malaysia kepada 2.5 juta tan metrik tahun ini daripada 3.2 juta tan metrik yang dicatatkan pada Disember 2018 — paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun.
Sasaran itu dibuat oleh bekas Ketua Pengarah (KP) Datuk Ahmad Kushairi Din, yang menyatakan MPOB mempunyai tugas yang sukar di hadapannya.
Selepas menamatkan perkhidmatan, Ahmad Kushairi kemudian menyerahkan tanggungjawab kepada penggantinya Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, yang berjanji untuk terus menurunkan inventori kepada antara 1.5 juta dan dua juta tan metrik pada masa hadapan.
“Kami sangat gembira sekiranya stok boleh terus dikurangkan antara 1.5 juta tan metrik hingga 2.0 juta tan metrik khususnya dengan pelaksanaan program B20 yang akan bermula pada tahun depan, dan ia menjadi harapan saya untuk melihat harga minyak sawit mentah (MSM) didagangkan pada RM3,000 setan metrik,” Ahmad Parveez memberitahu Bernama.
Dilantik pada 3 Ogos, 2019, ketua pengarah baharu ini berkata program B20 (biodiesel dengan 20 peratus campuran sawit) akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun depan, yang dijangka meningkatkan penggunaan tempatan kepada 25 peratus berbanding 18 peratus pada masa ini.
Apabila stok minyak sawit berada pada paras 3.2 juta tan metrik tahun lepas, harga MSM mencecah RM2,000 setan metrik, beliau menyatakan disebabkan pendapatan yang rendah, peladang perlu mengurangkan perbelanjaan termasuk pembelian baja yang mengakibatkan kekurangan pengeluaran.
Bagaimanapun, hari ini peladang khususnya pekebun kecil boleh merasa lega memandangkan MSM didagangkan pada paras RM2,800 setan metrik dan margin yang baik membolehkan mereka membeli baja untuk tanaman bagi meningkatkan pengeluaran.
Ahmad Parveez juga melihat usaha kerajaan ke arah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang akan meningkatkan pengeluaran dan membuka lebih banyak pasaran.
Sehingga 9 Dis, kira-kira 60.6 peratus keseluruhan ladang kelapa sawit seluruh negara akan mendapat sijil MSPO dan kerajaan menjangkakan menjelang Februari ia boleh mencapai sehingga 70 peratus.
“Dengan minyak sawit yang diiktiraf oleh pensijilan MSPO sepenuhnya, selepas tiga hingga empat tahun mengusahakannya, pengeluaran minyak sawit Malaysia akan mula meningkat. Tetapi apa sahaja pengeluaran yang kami hasilkan, saya berharap stok dapat diurus dan harga MSM tidak seharusnya berada di bawah paras RM2,500 setan metrik,” katanya.
Mengenai kempen ‘Cintai Minyak Sawit Kita’, Ahmad Parveez berkata MPOB melihat maklum balas positif daripadanya dan percaya ia akan diteruskan untuk beberapa tahun lagi.
“Bagi industri ini, saya berharap kita akan mempunyai lebih banyak produk hiliran dan sebagai KP baharu, saya benar-benar mahu membawa bersama semua penggiat industri (huluan dan hiliran) untuk kerja bersama bagi menaikkan imej, kualiti dan produktiviti minyak sawit.
“Ketika ini terdapat 14 persatuan dan saya merancang pada awal tahun depan kita boleh mengumpulkan semua kumpulan besar ini, untuk duduk berbincang bersama-sama Menteri Industri Utama Teresa Kok bagi menyelaraskan tugas kita.
“Kami mahu semua rantaian bekalan untuk bekerja bersama dan mematuhi amalan terbaik industri,” tambahnya.
Kemampanan telah menjadi tema utama bagi industri minyak sawit Malaysia sepanjang 2019, dengan tujuan untuk mencapai 100 peratus pensijilan MSPO menjelang akhir tahun ini.
Sasaran itu mungkin mengambil masa lebih panjang disebabkan oleh, antara lainnya, isu tanah dengan sebahagian pekebun kecil, tetapi ia telah berganjak sedikit daripada hanya di bawah 20 peratus tahun lepas.[bernama]
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan