Akademik: Perluasan PSP Mantapkan Pertumbuhan Ekonomi Negara
Akademik: Perluasan PSP Mantapkan Pertumbuhan Ekonomi Negara
Kuala Lumpur, MTN – Kuasa beli kelompok berpendapatan sederhana (M40) dijangka meningkat apabila mereka turut menerima faedah Program Subsidi Petrol (PSP) yang sekaligus mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, selain mengurangkan beban yang ditanggung golongan M40, program berkenaan dapat membantu mereka mengatur perbelanjaan lain yang lebih produktif.
Mengulas lanjut, Muhammad Ridhuan berkata perbelanjaan penggunaan petrol golongan M40 secara purata adalah sekitar RM400 hingga RM500 sebulan, bagi jarak sederhana (30 minit) antara rumah dan tempat kerja, dengan kereta tidak melebihi 1600cc.
“Melalui bantuan subsidi petrol, mereka boleh menjimatkan perbelanjaan kira-kira 40 hingga 60 peratus sebulan. Lebihan belanja yang ada boleh digunakan untuk menampung kos lain.
“M40 juga secara purata menggunakan kereta dengan produktif untuk ke tempat kerja atau untuk aktiviti lain yang membawa kepada pengembangan sektor lain terutama pelancongan dan perkhidmatan,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau lagi, golongan M40 juga lazimnya mempunyai penyata gaji, justeru tidaklah sukar untuk memperluaskan pemberian PSP kepada mereka.
“Selain merupakan pembayar cukai terbesar negara, M40 adalah penyumbang kepada hampir 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penggerak industri dan ekonomi negara secara keseluruhannya. Mereka juga mewakil 40 peratus daripada 14 juta tenaga kerja.
“Mereka ini dalam middle income trap. Tersepit di antara golongan berpendapatan rendah (B40) dan kumpulan berpendapatan tinggi (T20) sehingga mengekang kuasa belanja mereka. Justeru, mereka juga perlu dibantu terutama dalam berhadapan situasi kos sara hidup yang kian meningkat,” tambahnya.
Beliau berkata, negara lain turut mempunyai dasar tertentu dalam menyediakan kesejahteraan dan kemudahan kepada rakyat mereka sebagai contoh China, India, Indonesia dan Thailand yang merupakan antara pemberi tertinggi subsidi isi rumah.[bernama]
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan