Tahun Tikus Akan Bawa ‘Ong’ Memenangi Emas pada Sukan Olimpik Pertama
Tahun Tikus Akan Bawa ‘Ong’ Memenangi Emas pada Sukan Olimpik Pertama
Kuala Lumpur, MTN – Sambutan Tahun Baru Cina Sabtu ini, yang jatuh pada Tahun Tikus diharap membawa tuah untuk Kontinjen Malaysia meraih pingat emas pertama di temasya Sukan Olimpik, di Tokyo, Jepun.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata adalah harapan besar seluruh rakyat Malaysia untuk melihat atlet negara menamatkan penantian emas, sekali gus menyaksikan bendera Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Negaraku berkumandang di temasya sukan terbesar dunia itu.
“Dalam aspek ini, saya yakin para atlet, pegawai sukan, Majlis Olimpik Malaysia dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan sedang bekerja keras untuk memenuhi harapan besar rakyat Malaysia. Kita akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada atlet kita untuk memenuhi objektif tersebut.
Kita juga harap tahun ini lebih ´Ong´ (bernasib baik) untuk atlet-atlet kita melakar kejayaan di peringkat antarabangsa. Saya ingin memohon rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas rakaman ucapan Tahun Baru Cina bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan atlet negara di sini, malam ini.
Selepas 64 tahun sejak kali pertama menyertai Sukan Olimpik (1956), Malaysia masih belum meraih pingat emas pertama, dengan bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei merupakan atlet terbaik apabila meraih perak sebanyak tiga kali (2008, 2012 dan 2016).
Pencapaian terbaik negara adalah pada edisi lepas di Rio 2016 apabila membawa pulang empat perak, iaitu menerusi Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong (terjun 10m platform seirama wanita) serta sebutir gangsa menerusi Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal keirin).
Atlet yang telah layak ke edisi kali ini di Tokyo ialah gimnas Farah Ann Abdul Hadi bagi acara all-around individu, pelayar Khairulnizam Mohd Afendy (laser lelaki), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial wanita), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470 wanita) serta pemanah Khairul Anuar Mohamad (recurve lelaki).
Bagi sukan terjun, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal wanita) dan Pandelela bagi acara 10m platform wanita serta gandingan Pandelela-Leong Mun Yee bagi acara 10m platform seirama wanita telah mengesahkan slot ke Olimpik.
Dengan tempoh kelayakan bagi beberapa sukan masih berlangsung, lebih ramai atlet, terutamanya daripada sukan badminton dan berbasikal dijangka melayakkan diri ke Tokyo.[bernama]
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan