Ramasamy: Ketua Pemuda PH Sepatutnya "Merapatkan Jurang" Dan Tidak Mempersoalkan Hak Demokratik | Malaysia News
September 17, 2024

Ramasamy: Ketua Pemuda PH Sepatutnya “Merapatkan Jurang” dan Tidak Mempersoalkan Hak Demokratik

Ramasamy: Ketua Pemuda PH Sepatutnya “Merapatkan Jurang” dan Tidak Mempersoalkan Hak Demokratik

Kuala Lumpur, MTN – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mengecam Syed Saddiq Abdul Rahman kerana mengkritik beliau dan beberapa pemimpin PH lain kerana tak habis-habis bercakap mengenai isu peralihan kuasa.

Tanpa selindung, beliau berkata Ketua Pemuda PH sepatutnya “merapatkan jurang” dan tidak mempersoalkan hak demokratik mereka untuk meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghormati perjanjian menyerahkan kepimpinan negara kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Tiada siapa pun yang memaksa Mahathir untuk undur diri sekaligus, tetapi mahu beliau menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada kepimpinan berikutnya iaitu Anwar,” katanya.

Menurut Adun DAP, perjanjian PH sebelum pilihan raya umum lalu adalah untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara selama dua tahun.

“Tetapi malangnya, sehingga ke hari ini, Majlis Presiden PH masih belum menetapkan tarikh peralihan kuasa. Sekarang ini siapa yang salah?” Soalnya.

Ramasamy berkata suatu tarikh perlu ditetapkan walaupun Mahathir mahu melepaskan jawatan selepas sidang kemuncak negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada November.

“Apa yang salah dalam menentukan tarikh muktamad bagi peralihan kuasa? Saya yakin Mahathir tidak mempunyai masalah dengan ini, tetapi Syed Saddiq seolah-olah tekinja-kinja untuk mendapat perhatian daripada Mahathir,” katanya lagi.

Ramasamy juga tidak bersetuju dengan Syed Saddiq yang berkata gesaan tarikh penggantian kepimpinan akan menyebabkan ketidakstabilan atau menghalang kemampuan Mahathir untuk mentadbir negara.

“Jika Syed Saddiq percaya kepada demokrasi, beliau mesti menghormati hak untuk berbeza pendapat,” katanya.

Beliau juga berkata mustahil PH dapat menang PRU14 tanpa gerakan reformasi yang dicetuskan Anwar dua dekad dahulu.

“Saya fikir Syed Saddiq hanyalah pendatang baru untuk memahami dan menghayati dinamik politik era reformasi, apalagi memahami konteks di mana Mahathir dijadikan perdana menteri sementara,” katanya.

“Mahathir menyediakan kepimpinan penting dalam ketiadaan Anwar untuk berhadapan dengan BN. Rakyat Malaysia yang mahukan perubahan menyokong Mahathir,” tambahnya.

“Selepas kalah lima pilihan raya kecil, terdapat keperluan untuk menyelesaikan perkara peralihan. Majlis Presiden PH mesti menangani persoalan ini,” kata Ramasamy.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply