Kerajaan Mengambil Langkah Berjaga-jaga Ketika Rakyat Malaysia Tiba dari Wuhan
Kerajaan Mengambil Langkah Berjaga-jaga Ketika Rakyat Malaysia Tiba dari Wuhan
Sepang, MTN – Pihak berkuasa Malaysia mengambil semua langkah berjaga-jaga apabila sekumpulan rakyat Malaysia yang dibawa dari Wuhan, China, yang dilanda wabak 2019 Novel Koronavirus, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bersama-sama pasangan masing-masing dan anak mereka, yang sesetengahnya bukan rakyat Malaysia.
Mereka tiba di tanahair pada pukul 5.57 pagi dengan pesawat khas AirAsia menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) dikendalikan oleh kerajaan Malaysia.
Seramai 133 penumpang dan anak kapal disambut oleh pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan pegawai Kementerian Kesihatan sebelum dibawa menaiki bas dalam jarak tidak jauh ke Unit Bencana Udara (ADU) di KLIA yang kemudian melalui proses dekontaminasi dan pengimbasan kesihatan
Menyedari akan bahaya yang dibawa oleh virus berkenaan yang dilaporkan telah membunuh lebih 360 orang kebanyakannya di China, kerajaan meletakkan prosidur ketat terhadap kumpulan ini yang tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe bagi memastikan bebas daripada sebarang risiko menjangkiti penyakit itu kepada orang lain.
Kapal terbang berkenaan melangkaui landasan parkir biasa di KLIA, sebelum berhenti di kawasan yang dikhaskan tidak jauh dari ADU manakala mereka yang keluar dari pesawat itu tidak memasuki bangunan KLIA, yang mengurangkan risiko bersentuhan dengan orang ramai.
Pemindahan para penumpang dan anak kapal dari pesawat itu ke ADU mengambil masa kira-kira dua jam dengan hanya satu bas sahaja milik Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk tujuan itu sebagai langkah menghindari sebarang jangkitan virus itu.
Malahan pemandu bas berkenaan dilihat memakai peralatan perlindungan khas sebaik memulakan tugas memindahkan penumpang yang memakai topeng hidung dan mulut menuju ke ADU.
Susulan prosidur pengimbas kesihatan yang dijalankan itu, dua bas Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat meninggalkan ADU dengan diiringi polis kira-kira pukul 9.00 pagi untuk menuju ke kemudahan pengawasan iaitu Pusat Rumah Pengawasan di mana kesemua mereka akan menjalani kuarantin selama 14 hari.
Dua lagi bas juga dilihat meninggalkan ADU untuk kemudahan pengawasan kemudian.
Setakat ini, tidak terdapat sebarang maklumat rasmi mengenai jumlah orang yang dibawa ke kemudahan itu atau dibawa ke hospital.
Terdahulu dilaporkan bahawa mereka yang mempunyai simptom virus itu akan dihantar ke hospital manakala mereka yang bebas setelah diimbas akan dihantar ke pusat pengawasan itu yang diletakkan di bawah kawalan keselamatan yang ketat.
Misi membawa pulang rakyat Malaysia dan bukan rakyat Malaysia dikendalikan oleh 12 anak kapal AirAsia, lapan pegawai misi serta enam pegawai dari kedutaan Malaysia di Beijing.
Pesawat berkenaan, yang berlepas dari Malaysia ke Wuhan pada pukul 3.50 petang semalam, juga membawa bersama 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China yang sedang bergelut menangani wabak berkenaan yang sudah menular hingga ke berbelas negara. [bernama]
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan