Menteri Saifuddin: Tiada Kenaikan Harga Simen Di Kalangan Rakyat | Malaysia Top News
December 4, 2020

Menteri Saifuddin: Tiada Kenaikan Harga Simen di Kalangan Rakyat

Kuala Lumpur, MTN – Hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas harga simen mendapati tiada kenaikan harga berlaku di peringkat pengilangan simen.

Menteri Berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini berkata pemeriksaan itu dibuat berikutan aduan yang diterima daripada Persatuan Pembina Johor (JMBA) serta melalui media sosial berhubung dakwaan berlakunya kenaikan harga simen dari 20 peratus hingga 50 peratus.

“Bertindak daripada aduan tersebut, Bahagian Penguatkuasa kementerian pantas memulakan siasatan sejak 3 Feb 2020 lagi dengan melawat pengadu, kilang-kilang yang diadu serta mengeluarkan Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) kepada pemain industri berkaitan untuk membekalkan maklumat yang diperlukan oleh pihak kementerian.

“Hasil daripada maklum balas Notis 21 AKHAP 2011 terhadap empat pengilang simen utama berkenaan, didapati tidak berlaku kenaikan harga simen di peringkat pengilangan simen,” katanya.

Beliau berkata serahan Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan Notis bertulis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikeluarkan KPDNHEP pada tarikh tersebut kepada empat pengilang simen utama iaitu Slag Cement (Southern) Sdn Bhd, Lafarge Cement Sdn Bhd, Holcim (Malaysia) Sdn Bhd dan YTL Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd.

Saifuddin berkata berdasarkan perbandingan harga tahun ke tahun yang dibuat terhadap empat kilang terbabit bagi tempoh empat tahun berturut-turut bermula 2017 hingga tahun ini, didapati berlakunya penurunan harga dan kos untuk simen di peringkat pengilang.

Bahagian Penguatkuasa kementerian, katanya, akan menyediakan laporan terperinci berkenaan kenaikan harga simen setelah siasatan lengkap dilakukan di peringkat pemasaran am.

“Dalam mengorak langkah ke hadapan, pemeriksaan akan diteruskan di peringkat pemasaran am bagi mendapatkan butiran atau maklumat lanjut berhubung harga yang ditawarkan kepada peringkat pengedar,” katanya..

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tanpa fakta atau bukti yang berasas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, bukti atau ingin membantu siasatan boleh menghubungi KPDNHEP melalui saluran aduan KPDNHEP iaitu Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1800 886 800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), WhatsApp 019-279 4317 atau lapor/hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.[bernama]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •