Gunakan e-Tunai, Terminal Melaka Sentral Menuju Era Digital
Gunakan e-Tunai, Terminal Melaka Sentral Menuju Era Digital
Melaka, MTN – Terminal pengangkutan Melaka Sentral mengorak langkah menuju ke era digital apabila giat memperluas medium pembayaran menerusi aplikasi e-tunai untuk semua rangkaian perkhidmatan dan perniagaan di terminal itu secara berperingkat.
Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) Md Yusoff Abdullah berkata buat permulaan, empat daripada 20 mesin pembelian tiket bas ekspres automatik menawarkan pembayaran e-tunai menerusi platform Boost.
Beliau berkata selain itu, dua mesin pembayaran tiket tempat parkir turut menyediakan pilihan pembayaran sama dan kaedah tersebut akan diperluas kepada semua mesin yang ada berdasarkan sambutan pelanggan.
“Melaka Sentral telah mula mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan platform pembayaran e-tunai mengikut keperluan semasa kerana medium itu kini menjadi pilihan pelanggan, khususnya generasi muda, dalam berurusan dengan mana-mana sektor perkhidmatan atau perniagaan.
“Kita lihat pembayaran menerusi e-tunai semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan kerana ia lebih mudah, cepat dan selamat selain pembayaran tunai dalam kalangan pelanggan semakin kurang,” katanya kepada Bernama.
Md Yusoff berkata penyediaan medium e-tunai dalam pembelian tiket merupakan satu transformasi penggunaan teknologi oleh Melaka Sentral bermula daripada sistem pembelian secara manual atau di kaunter sebelum beralih ke sistem tiket berpusat dan seterusnya menerusi mesin secara berperingkat.
Beliau berkata berdasarkan bancian yang dilakukan pihaknya, hampir 75 peratus pelanggan yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres membeli tiket melalui mesin yang disediakan berbanding di kaunter.
Katanya penggunaan e-tunai bagi pembelian tiket dijangka mencecah 30 hingga 40 peratus dalam tempoh satu hingga dua bulan ini setelah dilancarkan pada Khamis lepas.
Md Yusoff berkata pada masa sama, peniaga di terminal itu juga akan digalak menggunakan platform e-dompet selaras dengan usaha trasformasi yang dilaksanakan pihak Melaka Sentral.
“Kita ada lebih 200 peniaga dalam pelbagai sektor perniagaan dan perkhidmatan dan setakat ini, hanya kira-kira lima peratus menggunakan platform e-dompet,” katanya.
Sementara itu, pemilik Restoran Sri Mawar Ria, Ridzuan Yeoh, 68, yang menjalankan perniagaan di terminal itu berkata transaksi pembayaran lebih mudah dan selamat kerana hasil jualan terus masuk ke akaun perniagaannya tanpa risau memikirkan tentang keselamatan wang di mesin tunai.
Beliau berkata restorannya menerima pembayaran secara e-dompet menerusi platform Touch n’ Go eWallet dan Boost, dan penggunaan kaedah itu hanya popular dalam kalangan pelanggan muda dengan jumlah pengguna ketika ini masih rendah.
“Bagi saya, e-tunai ini sangat mudah penggunaannya untuk kedua-dua pihak sama ada peniaga atau pelanggan tetapi teknologi itu hari ini masih baharu kepada rakyat negara ini, khususnya golongan berusia, namun saya percaya ia akan menjadi satu perkara biasa dalam tempoh beberapa tahun lagi dan lebih ramai akan menggunakannya,” kata bekas Guru Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu itu.
Peniaga aksesori telefon bimbit di terminal itu, Siti Khadijah Ramly, 35, pula berkata kebiasaannya pelanggan yang menggunakan e-dompet untuk membuat pembayaran tidak mempunyai tunai dan tidak mahu mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di terminal tersebut.
“Di gerai jualan ni, kita terima pembayaran melalui ‘Touch n’ Go eWallet’ dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelajar atau golongan muda,” katanya.[bernama]
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan