Ahmad Idham , Eizlan Dilantik Di Wisma Putra | Malaysia News

Ahmad Idham , Eizlan Dilantik di Wisma Putra

Ahmad Idham, Eizlan

Ahmad Idham , Eizlan Dilantik di Wisma Putra

Kuala Lumpur, MTN – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri berkuatkuasa pada Isnin (1/11/2021).

Selain Ahmad Idham, penerbit dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof pula dilantik sebagai Perunding Kreatif.

Pengumuman itu dilakukan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra, Putrajaya.

Saifuddin berkata, Ahmad Idham dilantik kerana dia mempunyai pengalaman luas selama 25 tahun dalam industri kreatif termasuk pernah memenangi anugerah antrabangsa di Pesta Filem Chunsa Korea pada 2018.

Menurutnya, Eizlan pula dilantik kerana kebolehannya yang tidak asing lagi dalam industri dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Pelantikan mereka selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia. Ia bagi tujuan mewujudkan kaedah baharu mempamerkan identiti dan nilai kebangsaan, di samping memaparkan nilai kepelbagaian budaya serta menggalakkan promosi dan pertukaran budaya.

“Bagi mempromosikan Diplomasi Budaya Malaysia, Jawatankuasa Seni & Budaya (ARCA) akan ditubuh di bawah Pejabat Menteri untuk mengukuhkan usaha dalam meletakkan seni Malaysia sebagai saluran berkesan dalam mempromosikan warisan sejarah dan budaya negara.

“Saya yakin bahawa Ahmad Idham dan Eizlan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi dan jayanya,” kata Saifuddin.

Ahmad Idham Ahmad Nadzri tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila impiannya untuk diberi peluang memajukan lagi industri kreatif negara termakbul melalui pelantikannya secara rasmi sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri, hari ini.

Kata bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, dia akan cuba melakukan yang terbaik sepanjang diberi amanah dalam memegang jawatan itu oleh Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah.

“Inilah salah satu impian saya iaitu untuk menggerakkan lagi industri kreatif negara apatah lagi diberikan kepercayaan di bawah diplomasi seni dan budaya.

“Sudah tentu, bidang kuasa itu lebih besar. Dan harapan saya agar kita boleh capai impian dan cita-cita selama ini untuk mengantarabangsakan budaya, produk tempatan dan bakat kita.

“Justeru, bila ditanya mengenai keterujaan itu, ia amatlah membuak-buak. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk seluruh industri kreatif dan kebudayaan yang ada di Malaysia,” katanya.

[MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply