AirAsia Terima Pengiktirafan Bintang 7 Terbaik untuk Prosedur Penilaian COVID-19
AirAsia Terima Pengiktirafan Bintang 7 Terbaik untuk Prosedur Penilaian COVID-19
Kuala Lumpur, MTN – AirAsia menerima pengiktirafan tujuh bintang teratas bagi setiap syarikat penerbangan dalam kumpulannya daripada pakar keselamatan industri penerbangan, Airlineratings.com, atas pelaksanaan pelbagai inovasi industri yang menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dengan ciri-ciri tanpa sentuhan.
Menurut kenyataan AirAsia hari ini, syarikat penerbangan dinilai berdasarkan tujuh kriteria seperti yang dinyatakan dalam laman web Airlineratings.com.
Ia merangkumi maklumat menyeluruh mengenai prosedur COVID-19 di laman web, pemakaian pelitup muka, pemakaian peralatan perlindungan diri oleh anak kapal, perkhidmatan hidangan dalam penerbangan yang diubah suai, pembersihan pesawat berkala, kit pensanitasi peribadi dan penjarakan fizikal dalam penerbangan.
Ketua Pengarang Airlineratings.com, Geoffrey Thomas berkata pihaknya bimbang apabila mendapat tahu terdapat syarikat penerbangan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 yang dipersetujui untuk melindungi para penumpang dan anak kapal.
“Kini keadaan telah berubah dan pasukan kami akan meninjau pematuhan operasi pada setiap minggu. AirAsia adalah antara syarikat penerbangan pertama yang melaksanakan semua cadangan secara agresif,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata penilaian ini dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengikut garis panduan keselamatan serantau dan antarabangsa.
Awal minggu ini, AirAsia melancarkan inovasi terbaru, Scan2Fly, teknologi terkemuka industri bagi menentukan kelayakan para penumpang untuk terbang sebelum mereka tiba di lapangan terbang, termasuk pengesahan masa nyata bagi dokumen kesihatan.
Pada masa yang sama, AirAsia turut mengumumkan beberapa peningkatan perkhidmatan meliputi perkhidmatan d aftar masuk beg automatik, teknologi pemeriksaan suhu mudah alih serta teknologi pengecaman wajah biometrik F.A.C.E.S. (Fast Airport Clearance Experience System) — sistem pengecaman wajah tanpa sentuhan.
[bernama]
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor