Amanah dan DAP Harap PKR ‘Teruskan’ Rebut Kembali Putrajaya
Amanah dan DAP Harap PKR ‘Teruskan’ Rebut Kembali Putrajaya
Kuala Lumpur, MTN – Amanah dan DAP hari ini mengeluarkan kenyataan bersama yang nampaknya merupakan usaha untuk meminta PKR meneruskan usaha merebut kembali Putrajaya di tengah-tengah kebuntuan politik yang berpanjangan.
Kedua-dua parti itu berkata selama berbulan-bulan, mereka tanpa lelah bertindak sebagai jambatan di tengah hubungan dingin antara pemimpin PKR dan kem Bersatu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, yang turut didukung Warisan.
Mereka menegaskan idea bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim atau Presiden Warisan Shafie Apdal sewajarnya berpeluang menjadi calon perdana menteri, manakala gabungan besar yang terdiri daripada PKR, Amanah, DAP, Warisan dan Bersatu kem Mahathir perlu diteruskan
Kenyataan bersama itu mengekalkan nada diplomatik dan berulang kali menekankan Amanah dan DAP tidak akan meninggalkan Anwar.
Bagaimanapun, DAP dan Amanah pada masa yang sama menolak pendirian PKR tanpa kompromi bahawa hanya Anwar sahaja yang sepatutnya menjadi satu-satunya calon perdana menteri untuk gabungan pembangkang.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam kenyataan bersama berkata isu calon perdana menteri tidak boleh menjadi halangan kepada PH Plus untuk menguasai semula Putrajaya.
Kenyataan penuh adalah seperti berikut:
Kenyataan bersama Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), pada 27hb Julai 2020
“Jalan ke depan ialah dengan memberikan peluang pertama kepada Datuk Seri Anwar dan sekiranya beliau gagal, Datuk Seri Shafie wajar diberikan peluang yang serupa; kedua-duanya dengan berasaskan sokongan kukuh 109 orang Ahli Parlimen.”
Sejak Langkah Sheraton oleh bekas Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang telah mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya 2018, parti Amanah dan DAP telah bekerja untuk memulihkan semula mandat tersebut; menjadi jambatan bagi kelima-lima parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan Plus.
Amanah dan DAP dipandu prinsip-prinsip asas berikut:
Pertama, pentingnya setiakawan kesemua pasukan dan parti anti-Perikatan Nasional, yang diwakili oleh 109 Ahli Parlimen yang menentang penukaran Speaker Parlimen yang dilakukan secara tidak demokratik dan sewenang-wenangnya;
Kedua, persoalan mengenai siapa akan menjadi Perdana Menteri seterusnya tidak wajar menjadi halangan dalam usaha memulihkan mandat rakyat. Pilihan untuk terus kekal menjadi pembangkang hanya kerana kita gagal berkompromi untuk jawatan Perdana Menteri adalah tidak boleh diterima.
Kegagalan untuk mencapai kesepakatan mengenai calon Perdana Menteri menunjukkan bahawa obsesi terhadap jawatan Perdana Menteri adalah lebih penting berbanding mandat pilihan raya rakyat Malaysia pada tahun 2018;
Ketiga; manifesto pilihan raya umum Pakatan Harapan pada tahun 2018 harus terus menjadi asas urus tadbir kerajaan PH Plus.
Sebagai rekod, Amanah dan DAP memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pada 26 Februari.
Pada 28 dan 29 Februari, Parti Keadilan Rakyat, Amanah dan DAP kembali mewujudkan semula gabungan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyokong Tun sebagai Perdana Menteri dalam usaha menghalang tertubuhnya sebuah kerajaan yang bukan pilihan rakyat.
Antara bulan Mac dan Mei 2020, Amanah dan DAP telah sepenuh hati mengajukan supaya gabungan besar yang menang dalam PRU 2018 dibina semula, iaitu PKR, DAP, Amanah, Warisan dan kumpulan Tun Dr Mahathir dalam Bersatu.
Pada 30 Mei, selepas kebuntuan yang berlanjutan, Majlis Presiden Pakatan Harapan membuat keputusan untuk mempertimbangkan dua pilihan:
Pilihan Pertama – Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pilihan Kedua – Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, dengan peralihan kuasa dalam tempoh 6 bulan.
Beberapa sesi rundingan dijalankan sehingga PKR secara rasminya menolak pilihan kedua pada 19 Jun.
Dengan tujuan untuk mencari jalan keluar, pimpinan Amanah, DAP dan Warisan serta kumpulan Tun Dr Mahathir mengadakan mesyuarat tidak rasmi bagi mencari pilihan-pilihan lain pada 25 Jun di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur.
Tun Dr Mahathir telah menerangkan dalam mesyuarat tersebut bahawa beliau tidak berniat menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga. Beliau menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri hanya untuk membantu menewaskan kerajaan Perikatan Nasional yang tidak mempunyai mandat rakyat dan memulihkan kembali mandat PRU 2018.
Dalam konteks ini, Lim Guan Eng telah mencadangkan, dengan sokongan Mohamad Sabu, supaya Datuk Seri Shafie Apdal dijadikan calon ketiga untuk membantu meleraikan kebuntuan antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar.
Tun Dr Mahathir dengan senang hati bersetuju terhadap cadangan menjadikan Shafie calon Perdana Menteri dalam masa dua minit sahaja selepas ia diajukan oleh Amanah dan DAP. Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa ia bukan soal sama ada beliau kembali menjadi Perdana Menteri, tetapi soal menyelamatkan negara dan memulihkan mandat rakyat.
Selain mengurangkan rasa tidak senang PKR terhadap Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Shafie akan menjadi pilihan bersejarah sebagai pemimpin pertama dari Sabah atau Sarawak yang dicadangkan sebagai Perdana Menteri.
Pemimpin Amanah dan DAP yang menghadiri mesyuarat tidak rasmi itu, kemudiannya memaklumkan Tun Dr Mahathir dan mereka yang lain bahawa pilihan baharu Shafie ini perlu dibawa kembali untuk perbincangan bersama pimpinan parti masing-masing dan kemudian dibincangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Kami menegaskan bahawa bilangan 109 ahli parlimen perlu menjadi asas untuk memulihkan kerajaan; bukan perkumpulan setakat 91 ahli parlimen tanpa Warisan dan kumpulan Tun dalam Bersatu, atau hanya 71 ahli parlimen tanpa PKR.
Amanah dan DAP berkongsi perasaan kecewa dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa walaupun dengan 109 kerusi di Parlimen menentang PN walaupun ditawarkan jawatan menteri dan GLC, kita masih gagal menuntut semula mandat rakyat.
Kami tidak bersetuju dengan idea bahawa Pakatan Harapan boleh berunding dengan sesiapa sahaja dengan berbekalkan 91 kerusi, dengan mengesampingkan kumpulan Tun Dr Mahathir dan Warisan.
Kami juga tidak bersetuju dengan idea bahawa perubahan boleh berlaku dengan hanya 71 Ahli Parlimen, tanpa penglibatan 38 ahli parlimen PKR.
Kami berpendapat bahawa sama ada Anwar atau Shafie, dengan berbekalkan 109 ahli parlimen, sesiapa yang berjaya mendapat angka untuk mencukupkan angka 112 ahli parlimen, wajar diberi peluang mengetuai kerajaan gabungan itu nanti sebagai Perdana Menteri.
Ada yang menyebut bahawa memandangkan pembangkang tidak dapat menyelesaikan persoalan calon Perdana Menteri, kita patut terus kekal sebagai pembangkang dan menunggu pilihan raya seterusnya.
Kami tidak berpendapat begitu. Sebarang formula untuk menang dalam PRU seterusnya secara sendirian sebagai Pakatan Harapan atau tanpa Pakatan Harapan adalah formula yang sukar.
Hanya Pakatan Harapan Plus yang melibatkan Pakatan Harapan, Warisan dan kumpulan Tun merupakan kombinasi boleh menang dalam PRU akan datang. Kekuatan bersama ini mesti menjadi premis asas, bukannya perkumpulan pembangkang yang berpecah-belah dan lemah.
Malahan, pilihan untuk berputus asa daripada menuntut semula kuasa kerajaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, bahkan merupakan pengkhianatan terhadap pilihan rakyat pada 9 Mei 2018.
Dengan tidak mencuba untuk menuntut kembali mandat itu secepat mungkin, kita hanya mengabsahkan Langkah Sheraton, sebuah kerajaan tanpa mandat, kesemua dasar-dasarnya yang tidak demokratik dan paling penting sekali, ketiadaan iltizam politik untuk membanteras rasuah dan memupuk ketelusan dalam urus tadbir. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku.
Jalan ke depan ialah dengan memberikan peluang pertama kepada Datuk Seri Anwar dan sekiranya beliau gagal, Datuk Seri Shafie wajar diberikan peluang yang serupa; kedua-duanya dengan berasaskan sokongan kukuh 109 orang Ahli Parlimen.
Pada masa yang sama, 109 orang Ahli Parlimen dan kelima-lima parti Pakatan Harapan Plus iaitu Amanah, DAP, PKR, Warisan dan kem Tun Dr. Mahathir dalam Bersatu harus memastikan hubungan kerjasama yang erat untuk memainkan peranan sebagai blok pembangkang yang berkesan dan bersatu untuk:
•Membina harapan dalam detik yang sukar ketika krisis politik, ekonomi, dan Covid-19;
•Membina keyakinan dan perpaduan nasional rakyat Malaysia ketika berhadapan sentimen perpecahan Perikatan Nasional;
•Mendedahkan salah guna kuasa dan skandal seperti 1MDB dan menjuarai tadbir urus yang berintegriti;
•Memperkukuhkan keselamatan ekonomi dan solidariti ekonomi bersama rakyat Malaysia menghadapi krisis ekonomi paling getir dalam beberapa generasi, yang dicetuskan oleh Covid-19;
•Menawarkan cadangan dan dasar alternatif bertunjungkan pengalaman, kepakaran dan kebolehan yang diperolehi Pakatan Harapan semasa menerajui tampuk pemerintahan.
____________________________________________________________
Kenyataan ini ditandatangani oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri