Isu Covid-19 Jadi Topik Utama Sidang Dewan Rakyat
Isu Covid-19 Jadi Topik Utama Sidang Dewan Rakyat
Kuala Lumpur, MTN – Isu berkaitan impak penularan Covid-19 serta rancangan pemulihan daripada wabak itu terus menjadi topik yang dibangkitkan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan persidangan Dewan Rakyat, yang memasuki hari kesembilan hari ini.
Beberapa Ahli Parlimen ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, antara lain melahirkan kebimbangan impak wabak Covid-19 yang sedang dialami rakyat khususnya berkaitan isu pengangguran dan pengurusan kewangan isi rumah.
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) mencadangkan agar kerajaan meneliti keperluan melanjutkan tempoh moratorium yang berakhir pada September ini.
Beliau berpendapat moratorium boleh dibuat secara lebih bersasar dan dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga Disember.
“Cadangan ini perlu dilihat secara bersama (di Dewan Rakyat) kerana saya berpandangan masih ramai yang tersepit untuk mendapatkan pekerjaan baharu akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.
Senada dengannya, Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) turut meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan tempoh moratorium kepada tiga hingga enam bulan lagi.
Katanya pelanjutan moratorium akan dapat membantu memperkukuhkan kewangan isi rumah seperti menyelesaikan hutang kad kredit dan pinjaman peribadi selain memberi manfaat membuat simpanan.
Sementara itu, Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) mahu kerajaan menyediakan perancangan pemulihan jangka panjang untuk memperkukuhkan semula ekonomi negara walaupun kerajaan sudah memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.
Dalam menangani bencana wabak seperti Covid-19 pada masa hadapan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menggesa Kementerian Kesihatan mengambil perhatian mengenai masalah hospital yang berada dalam keadaan daif di negara ini.
Charles Santiago (PH-Klang) pula mencadangkan supaya kerajaan campur tangan dalam pembelian dan penentuan kos ubat Remdesivir, yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19, dengan menggunakan pendekatan ‘pelesenan wajib’ memandangkan harga ubat itu di pasaran terlalu tinggi.
Mengenai pengumuman kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak seperti pengangkutan awam bermula 1 Ogos, Hannah Yeoh (PH-Segambut) pula ingin tahu rancangan kerajaan untuk membantu golongan miskin yang tidak mampu memakai pelitup muka setiap hari. [Bernama]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri