Antara Politik Dan Virus Boleh Cetuskan Darurat | Malaysia News

Antara Politik dan Virus Boleh Cetuskan Darurat

Antara Politik dan Virus Boleh Cetuskan Darurat

Kuala Lumpur, MTN – Kali pertama aku berdepan dengan perintah berkurung dalam rumah pada tahun 1977. Ketika itu, aku baru berusia 14 tahun, baru merangkak ke alam remaja.

Kalau tanya aku pengalaman masa itu, aku tidak dapat jawab dengan tepat kerana banyak yang aku tidak tahu apa yang berlaku sepanjang perintah berkurung, atau lebih tepat Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Cuma, masih kuat dalam ingatan aku ketika itu, aku tak dapat pergi ke sekolah. Aku difahamkan semua sekolah ditutup. Ada anggota tentera dan polis berkawal berjaga sepanjang jalan dan kampung-kampung.

Ayah aku juga diberi cuti, tidak boleh masuk pejabat sepanjang perintah berkurung. Dia kerja di Jabatan Parit dan Tali air (JPT), sekarang ditukar kepada nama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Perintah berkurung di Kelantan masa itu bukan kerana serangan wabak penyakit berjangkit seperti sekarang, Covid-19 atau koronavirus.

Perintah berkurung di Kelantan berlaku kerana krisis politik. Masa itu Pas memerintah Kelantan. Menteri Besarnya pun dari Pas juga, Datuk Mohamad Nasir (Allahyarham).

Ada pemimpin Pas sendiri tidak puas hati dengan menteri besarnya, maka dalam sidang DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977, 20 ADUN Pas mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Datuk Mohamad Nasir.

ADUN UMNO seramai 13 orang ketika itu tidak menyatakan apa-apa keputusan. Menyokong tidak, tidak menyokong pun tidak. Mereka hanya keluar dewan.

Keadaan di akar umbi menjadi tidak keruan. Majoriti ahli Pas akar umbi sukakan Datuk Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar. Yang tidak suka hanya ADUN Pas sahaja.

Keputusan menjatuhkan Datuk Mohamad Nasir menyebabkan rakyat marah dan hilang sabar, maka berlakulah himpunan dan bantahan besar-besaran.

Tidak cukup dengan himpunan, rakyat memberontak dan membuat rusuhan. Rakyat membakar tayar, menutup jalan masuk ke kampung-kampung dan mengancam keselamatan orang ramai.

Justeru, pada 8 November 1977, Parlimen Persekutuan meluluskan Rang Undang-Undang Darurat Kelantan. Dengan itu Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat.

Politik Pas lumpuh apabila pentadbiran Kelantan yang asalnya gabungan Pas-UMNO bukan lagi di bawah menteri besar dan kerajaan negeri.

Kelantan diletakkan bawah jagaan Kerajaan Persekutuan, yang ketika itu Perdana Menterinya Tun Hussein Onn (Allahyarham).

Sekali lagi aku katanya, aku tidak ingat apa yang berlaku. Aku langsung tidak mengerti apa itu politik dan apa itu parti politik. Aku tidak belajar, dan aku tidak mahu ambil tahu hal politik.

Yang aku tahu, aku sekeluarga, dan jiran-jiran di kampung aku tidak boleh keluar dari rumah walaupun untuk membeli barangan keperluan. Kami diarah berada dalam rumah.

Kawalan ketika itu cukup ketat. Aku pernah dengar khabar-khabar angin menyatakan, “siapa keluar dari rumah, nampak oleh askar, kena tembak”. Hanya itu yang aku dengar. Tapi, tidak pernah dengar ada penduduk mati kena tembak.

Soal berapa lama perintah berkurung masa itu, aku pun tak ingat. Tika zaman meningkat remaja, aku lebih seronok bermain dengan kawan-kawan. Aku tidak peduli dengan parti politik, dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Parti mana memerintah pun aku tidak peduli. Pas ke, UMNO dari Barisan Nasional (BN) ke, aku tidak ambil tahu.

Kemudian, selepas 43 tahun berlalu, ketika umur aku mencecah 56 tahun, aku sekali lagi berdepan dengan perintah kawalan pergerakan, yang membawa maksud lebih sama dengan perintah berkurung.

Bezanya, perintah berkurung atau darurat, semua penghuni diwajib berada dalam rumah, dilarang sama sekali keluar dari rumah. Manakala Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai masih boleh keluar, tapi mereka akan disoal siasat.

Hanya jika ada hal penting seperti mahu ke pasar sahaja dibenarkan. Itu pun dihadkan.

Kerajaan bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Empat hari pertama hanya anggota polis yang dikerah berjaya, masuk hari kelima anggota tentera dikerah untuk membantu polis kerana masih ramai rakyat Malaysia berdegil.

Mereka tidak boleh duduk diam dalam rumah. Mereka curi-curi berkumpul dan berhimpun di laman rumah dan di kedai makan. Tindakan itu menyebabkan anggota polis dan tentera marah, terpaksa tinggikan suara, terpaksa guna bahasa kesat.

Barisan hadapan seperti kakitangan kesihatan bertungkus lumus memeriksa kesihatan orang ramai, sampaikan ada doktor dan kakitangannya turut dijangkiti virus Covid-19.

Ini berpunca dari kedegilan rakyat kita. Pihak berkuasa suruh duduk dalam rumah, mereka bersiar-siar mencari penyakit, kemudian virus yang ada pada mereka berjangkit pula pada orang lain yang tidak berdosa.

Aku sendiri geram dengan perangai dan sikap degil ini. Aku pernah bayangkan untuk ambil tindakan tegas dan keras ke atas mereka, kerana sengaja mengundang penyakit.

Walaupun tempoh 14 hari itu dianggap lama oleh kebanyakan rakyat Malaysia yang berkurung tetapi tempoh itu sebenarnya suatu jangka masa agak pendek dan singkat oleh kerajaan yang bertungkus lumus berusaha mencari penawar.

Setakat ini, belum ada penawar lagi untuk sembuhkan sepenuhnya mangsa yang dijangkiti virus Covid-19. Itu yang aku tahu dari pemerhatian semua jenis info oleh Kementerian Kesihatan.[mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply