Kadir Jasin: 'Zahid, Najib Akan Sokong Siapa Yang Paling Untungkan Mereka' | Malaysia News

Kadir Jasin: ‘Zahid, Najib Akan Sokong Siapa yang Paling Untungkan Mereka’

Kadir Jasin: ‘Zahid, Najib Akan Sokong Siapa yang Paling Untungkan Mereka’

Kuala Lumpur, MTN – Wartawan veteran Abdul Kadir Jasin berpandangan undian Belanjawan 2021 untuk bacaan ketiga di Dewan Rakyat hari ini boleh menjadi pertembungan antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam meraih sokongan pemimpin Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Susulan sidang media bersama Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah semalam, Kadir melihat beberapa pemain utama berkenaan perebutan majoriti di Parlimen, “jika memang pertembungan hidup dan mati seperti itu akan berlaku.”

“Secara demokratik, Muhyiddin tidak pernah membuktikan dia ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat sejak merampas kuasa pada Februari.

“Anwar berulang kali mendakwa dia memiliki sokongan yang ‘kuat, utuh dan meyakinkan’ di Dewan Rakyat.

“Najib dan Zahid yakin mereka ada bilangan (kerusi) untuk menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Kadir, yang merupakan bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dilihat sebagai penyokong Mahathir, meminta para pengguna Facebook untuk meletakkan diri mereka di tempat Najib dan Zahid.

“Anda boleh jadi penentu. Siapa yang akan anda sokong di Parlimen – Muhyiddin yang merupakan perdana menteri atau Anwar yang ingin jadi perdana menteri?

“Di pihak Najib, anda sudah disabitkan bersalah dan sedang merayu terhadap sabitan rasuah itu selain sejumlah lagi pendakwaan di mahkamah.

“Di pihak Zahid pula, anda berdepan 47 pertuduhan jenayah dan tak lama lagi boleh menyertai Najib (sebagai orang disabit bersalah),” katanya.

Menurut Kadir, kecuali jika kedua-dua ahli politik itu sedia menghabiskan masa dalam penjara, mereka tentunya menimbang pilihan yang ada sebelum memutuskan sokongan yang akan diberi.

Dia membangkitkan sejumlah kes berprofil tinggi yang diberikan keputusan dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) sejak Muhyiddin menjadi perdana menteri.

“Anda sudah pun lihat belas kasihan (leniency) terhadap bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, yang dilepas tanpa dibebaskan, dan (bekas menteri wilayah) Tengku Adnan Mansor serta (anak tiri Najib) Riza Abdul Aziz yang turut diberikan DNAA.

“Pastinya anda tak terkecuali untuk menjangka keputusan sama terhadap kes-kes anda. Jadi Muhyiddin dilihat sebagai pertaruhan yang baik,” kata Kadir.

Dia juga membayangkan kemungkinan pertuduhan terhadap Najib dan Zahid itu telah pun dibincangkan dengan Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Kadir mendakwa walaupun Anwar bukan perdana menteri, dia ada pengalaman peribadi dalam berdepan pendakwaan, kehakiman dan penjara.

“Dia bukan saja faham kesukaran anda tetapi dapat membantu dengan beberapa cara. Dia bukan saja ada kuasa untuk melantik peguam negara yang kurang tegas (friendly) tetapi berpengalaman dalam mendapatkan pengampunan diraja.”

Atas sebab itu, kata Kadir, kedudukan Anwar sebagai perdana menteri lebih banyak membantu Najib dan Zahid berbanding pada masa ini.

“Maka, siapa yang akan anda undi di Parlimen – Muhyiddin yang terdesak untuk mengekalkan jawatan atau Anwar yang terdesak untuk menjadi perdana menteri?

“Dengan segala pertimbangan dan agenda peribadi ini, saya tidak terkejut langsung jika rakyat bukanlah dalam keutamaan anda,” katanya lagi.

Semalam, Mahathir berkata ada kemungkinan kerajaan pimpinan Muhyiddin akan tumbang hari ini.

PH juga telah menggesa semua ahli Parlimen untuk menolak Belanjawan 2021 dalam bacaan ketiga hari ini.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply