Anwar: "Saya Sedia Beri Keterangan" | Malaysia News

Anwar: “Saya Sedia Beri Keterangan”

Anwar: “Saya Sedia Beri Keterangan”

“Saya sedia beri keterangan” – Anwar ikrar bantu siasatan dakwaan mencabul
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada polis yang telah mengambil pendekatan proaktif dalam menyiasat dakwaan mencabul bekas kakitangannya, Muhammed Yusoff Rawther.

Menurut Presiden PKR itu, beliau juga sedia untuk membantu pihak polis dalam siasatan kes berkenaan.

“Merujuk kepada dakwaan fitnah terbaharu terhadap saya, saya berterima kasih kepada pihak polis kerana telah menyegerakan siasatan mereka.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya bersedia memberi keterangan kepada pihak polis dalam kadar segera untuk membantu siasatan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam kenyataan media pada Rabu.

Anwar, 72, kini berhadapan dengan dakwaan seksual terbaharu yang dibuat oleh Muhammed Yusoff yang juga bekas pegawai penyelidik pemimpin itu.

Muhammed Yusoff telah membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul oleh Anwar pada 2 Oktober tahun lepas.

Bagaimanapun, Anwar menafikan dakwaan itu kerana pada tarikh yang didakwa Muhammed Yusoff itu beliau sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Dalam masa sama, polis berkata, akan memanggil Anwar dan beberapa saksi lain untuk memberi keterangan berhubung dakwaan seorang lelaki yang mengaku dirinya dicabul Presiden PKR itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka akan dipanggil setelah mendapat tarikh yang sesuai.

“Percakapan Anwar Ibrahim serta beberapa saksi lain yang berkaitan akan diambil setelah mendapat tarikh janji temu yang sesuai.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan,” kata beliau dalam kenyataan media.

–Astroanawi

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply