Apa pilihan Anwar?
Apa pilihan Anwar?
Kuala Lumpur, MTN – Saya fikir Anwar dalam situasi mempunyai kuasa tawar-menawar yang besar sekarang dan dalam keadaan setelah apa yang Dr Mahathir Mohamad lakukan terhadap beliau sebelum ini (mungkir janji).
Mungkin Anwar mengambil sikap berhati-hati untuk tidak terlalu memberi ruang yang tersangat mudah bagi Mahathir. Situasi deadlock sekarang memang membawa kebuntuan dan saya fikir dalam pemikiran Anwar kini, membentuk kerajaan PH kembali adalah satu pilihan yang tidak boleh diabaikan.
Tetapi beliau mungkin berfikir mengambil langkah bahawa kerajaan PH yang baharu ini mestilah PH 2.0 yang bebas dari sebarang kemungkinan manipulasi yang berulang, dengan kunci mangganya di tangan Mahathir.
Saya pernah dengar kenyataan Anwar bahawa dia tidak akan tinggalkan rakan-rakannya (DAP dan Amanah).
Tetapi dengan mengambil sikap keras dan tidak mahu kompromi, bermaksud Anwar sebenarnya hanya penting dirinya sendiri dan membelakangkan kepentingan rakan-rakannya yang inginkan pembentukan kerajaan PH 2.0.
PKR berbeza dengan Amanah dan DAP. PKR parti yang sudah lama bertapak dalam politik dan mereka telah mempunyai suatu falsafah yang cukup kuat tentang perjuangan dan keperluan untuk merealisasikan suatu reformasi yang menyeluruh.
Dengan sebab itu, PKR boleh bertahan jika terus kekal sebagai pembangkang. Saya fikir Anwar mempunyai kekuatan dan mampu untuk merealisasikan kehendaknya (enggan kompromi dengan Mahathir) berbanding Amanah dan DAP.
Sedangkan Amanah sebuah parti muda dan tidak begitu kuat tapak politik asasnya.
Justeru Amanah amat memerlukan suntikan tenaga untuk melonjakkan momentumnya iaitu dengan menjadi kerajaan.
Hakikatnya peluang membentuk kerajaan baru PH 2.0 ini adalah sesuatu yang sukar dilepaskan oleh Amanah.
DAP yang terpalit sebagai parti pembangkang puluhan tahun juga memerlukan lonjakan baru untuk membuktikan kemampuannya menjadi sebuah parti kerajaan yang boleh berkhidmat untuk rakyat dan mewakili suara masyarakat bukan Melayu yang lain.
Peluang membentuk kerajaan baru ini juga sesuatu yang sukar untuk dilepaskan DAP.
Anwar perlu kompromi
Dalam situasi kebuntuan kini, Anwar dan Mahathir masing-masing tidak boleh membentuk kerajaan tanpa kerjasama keduanya, kecuali Anwar dapat membuktikan bahawa tanpa Mahathir, beliau boleh membawa angka lebih 112 anggota parlimen.
Atau Mahathir boleh mengadakan jumlah 112 dengan mempertimbangkan muafakat baru yang tidak dalam jangkauan pemikiran kita.
Maka dalam situasi pemimpin-pemimpin pembangkang yang semakin lemah ekoran siasatan dan pendakwaan seperti kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kes timbalan pengerusi/presiden Warisan, kes Banglo Lim Guan Eng, pendedahan bekas peguam negara Apandi Ali tentang ‘konspirasi’ Mahathir-Gopal Sri Ram dan banyak lagi menunjukkan masa bagi PH 2.0 semakin suntuk.
Dan tidak ada jaminan kes dakwaan gangguan seksual Anwar dengan Yusof Rowther tidak akan dibuka semula.
Dan ini benar-benar menunjukkan pembangkang kini semakin lemas dan bakal tenggelam tidak lama lagi.
Saya fikir dalam situasi kini, memberi peluang Mahathir mengemudi PH sekali lagi sebagai perdana menteri dengan syarat melantik Anwar sebagai timbalan dan menteri kewangan mungkin pilihan terbaik.
Soal peralihan kuasa 2.0 dalam tempoh tertentu mungkin boleh dipateri dalam suatu bentuk persetujuan yang lebih menyeluruh dari segi tempoh dan tarikh yang nyata.
Saya fikir, ini situasi menang-menang dan Anwar masih mempunyai kelebihan untuk menentukan sendiri bentuk penjajaran semula politik menjelang PRU15 dengan sokongan rakan-rakan DAP dan Amanah yang lebih mantap.
Hasil pengorbanan kali kedua Anwar sehingga mandat rakyat PRU-14 dapat dikembalikan.
____________________________________________________________________
DR MAZLAN ALI merupakan penganalisis politik yang bertugas sebagai pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia.
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri