Bapa Noryn Aziz Meninggal Dunia | Malaysia News
Noryn Aziz

Bapa Noryn Aziz Meninggal Dunia

Kuala Lumpur, MTN – Bapa penyanyi Noryn Aziz iaitu Allahyarham Abd Aziz Mohd Dali menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati tahap empat di kediamannya di Shah Alam, di sini, jam 2 petang pada Khamis (2/12/2021).

Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abd Aziz, 45, berkongsi perkhabaran duka menerusi hantaran dalam Instagram (IG), sebentar tadi.

“Dengan dukacitanya dimaklumkan ayah kesayangan Noryn, Hj Abd Aziz Mohd Dali kembali ke rahmatullah petang ini di rumah keluarga kami.

“Terima kasih. Al-Fatihah buat ayah tersayang,” tulisnya.

Menerusi hantaran itu, penyanyi lagu Fantasi O Realiti itu memaklumkan urusan pengebumian arwah bapanya akan dilakukan pada malam ini selepas waktu Isyak.

“Solat jenazah dilakukan selepas waktu isyak di Surau Rahaiyatul Firdaus, Alam Budiman U10, Shah Alam.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Budiman, jam 9 malam,” katanya.

Meninjau ruangan komen, perkongsian bekas juara program Gegar Vaganza 5 itu dibanjiri dengan ucapan takziah daripada peminat dan rakan selebriti seperti Datuk Ziela Jalil, Liza Hanim, Zur Eda, Haiza, Yusuf Bahrin dan Bella Astillah.

Rata-rata mereka mendoakan semoga penyanyi itu tabah menghadapi ujian yang dilalui.

 

[BH]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •