CBP Menubuhkan Dua Cawangan Baru Di Perak, Kuala Lumpur | Malaysia Top News
January 16, 2021

CBP Menubuhkan Dua Cawangan Baru di Perak, Kuala Lumpur

Kuala Lumpur, MTN – Co-op Bank Pertama (CBP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan menerusi pembukaan dua cawangan baharu pada awal bulan ini di Manjong, Perak dan Setapak, Kuala Lumpur.

Langkah berkenaan merupakan antara strategi bank itu untuk membawa perkhidmatan perbankan secara terus kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan selain menyediakan rangkaian perkhidmatan perbankan penuh seperti di bandar besar lain dalam pasaran perkhidmatan kewangan yang semakin kompetitif.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nor Abd Razak berkata CBP juga akan menumpukan kepada pelanggan baharu dan berkembang dalam penguasaan pasaran untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi kewangan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kedua-dua cawangan baharu itu akan beroperasi seperti biasa mulai 9 pagi hingga 3 petang.

“Bagaimanapun, operasi kedua-dua cawangan itu dan semua cawangan CBP akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard serta menjaga penjarakan sosial dan sebagainya seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.

Advertisement

Mengulas selanjutnya, Mohd Nor berkata CBP menunjukkan prestasi cemerlang pada 2019 berikutan dapat memberikan jumlah pembayaran dividen paling tinggi sejak lima tahun lepas dan katanya, kejayaan ini dicapai hasil daripada pengurusan yang baik.

Menurutnya ketika dunia sedang berdepan pandemik COVID-19, ia tidak menjadi penghalang kepada institusi kewangan itu untuk memanfaatkan teknologi bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan yang disediakan menerusi pelbagai aplikasi dalam talian.

“Malah, CBP muncul sebagai sebuah institusi yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk menawarkan produk kewangan patuh syariah dengan keistimewaan tersendiri,” katanya.

CBP yang dahulunya dikenali sebagai Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd merekodkan pelbagai kejayaan sepanjang 70 tahun beroperasi dengan jumlah ahli melebihi 91,500 orang sehingga kini.

Organisasi yang dahulunya berperanan sebagai pertubuhan koperasi yang diasaskan di Kampung Pertama Permatang Pauh pada 1950, kini menjadi antara institusi kewangan berdaya saing dalam memberi pelbagai perkhidmatan serta produk pembiayaan kepada orang ramai.

 

[bernama]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •