Kejayaan TFC Memasuki Slot Piala AFC 2021 Adalah Hadiah Berharga | Malaysia Top News
January 16, 2021

Kejayaan TFC Memasuki Slot Piala AFC 2021 Adalah Hadiah Berharga

Kuala Nerus, MTN – Kejayaan skuad Terengganu FC (TFC) meraih slot automatik ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 adalah hadiah paling berharga buat pasukan, kata ketua jurulatih Nafuzi Zain.

Selepas mengharungi pelbagai kesukaran dan halangan sepanjang musim paling mencabar dalam sejarah bola sepak, kejayaan itu dianggap sebagai satu pencapaian besar bagi Nafuzi sebagai pendatang baharu dalam dunia kejurulatihan Liga Super.

“Alhamdulillah…saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang memberi slot automatik kepada TFC ke AFC selepas Piala Malaysia dibatalkan.

“Kejayaan ini tidak datang bergolek, sebenarnya adalah hasil usaha keras keseluruhan pasukan TFC terutama pemain yang sentiasa bekerja keras di padang dan tidak berputus asa walaupun pada masa-masa yang sukar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, MFL mengumumkan saingan Piala Malaysia 2020 yang memasuki peringkat suku akhir dibatalkan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak rayuan untuk meneruskan kejohanan tertua di Asia Tenggara itu.

Advertisement

Berikutan itu juga MFL mengesahkan TFC yang menduduki tangga ketiga Liga Super, meraih slot Piala AFC 2021, selepas kali terakhir melakukannya pada 2012 di bawah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim.

Dalam perkembangan lain, Nafuzi berkata beliau masih menunggu keputusan daripada pihak pengurusan TFC Sdn Bhd berhubung kontraknya yang bakal tamat hujung bulan ini.

Sambil menyatakan minat untuk terus menerajui skuad Penyu musim depan, beliau bagaimanapun menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan kerana yakin mereka mempunyai perancangan terbaik buat TFC bagi mengharungi saingan Piala AFC 2021.

“Saya yakin pihak pengurusan pastinya mempunyai perancangan terbaik untuk TFC yang bakal beraksi di Piala AFC tahun depan dan ia menjadi impian semua orang termasuk peminat bola sepak Terengganu untuk melihat pasukan ini terus maju,” katanya.

[bernama]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •