Covid-19: Mampukah China Selamatkan Dunia? | Malaysia News

Covid-19: Mampukah China Selamatkan Dunia?

Covid-19: Mampukah China Selamatkan Dunia?

China telahpun membendung pandemik koronavirus (Covid-19) daripada terus menular di Wuhan, malah di negara China itu sendiri secara keseluruhannya.
Ini merupakan satu pencapaian yang agak memberangsangkan bagi negara yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 1.3 bilion orang, di mana permulaan perintah berkurung bermula di Wuhan, sebuah bandar di wilayah Hubei.

China harus dipuji atas pencapaian itu. Tetapi pujian juga perlu diberikan atas kajian dan pelaksanaan yang teliti dalam membendung wabak ini. Dalam erti kata lain, terdapat kekurangan dalam respons yang dibuat oleh China sebelum ini dan kekurangan itu perlu ditekankan.

Dengan cara itu, kita boleh mengetahui sejauh mana China boleh menyelamatkan dunia, termasuk Malaysia memandangkan China sedang melaksanakan diplomasi kesihatan global dengan cita-cita yang agak tinggi bagi membantu negara lain untuk ‘meratakan lengkungan’ wabak.

Pertama sekali, China telah melakukan dengan baik untuk mengkuarantin rakyatnya bermula 23 Januari hingga hujung Mac lalu. Namun, harus diingat bahawa hanya daerah Wuhan yang menjalani perintah berkurung dahulu dan kemudiannya diikuti oleh wilayah lain, bukannya dilakukan secara serentak di seluruh China.

Secara ringkasnya, perintah berkurung sangat berkesan apabila dilakukan di daerah yang terdapat wabak Covid-19 sahaja dahulu, bukannya seluruh negara. China sepatutnya menerangkan hal itu kepada negara-negara lain, mulakan dengan daerah yang terlibat, bukannya terus dilaksanakan di seluruh negara secara serentak.

Dengan tidak memahami pendekatan yang dilakukan oleh China, terdapat negara-negara yang angkuh terus melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara dengan terburu-buru sambil mengatakan mereka mengambil China sebagai contoh tanpa memahaminya terlebih terdahulu. Hasilnya, mereka hilang arah. Pengajaran daripada China juga hilang dan terus terjunam ke lembah kegelapan.

Kedua, China dengan pantas membidas teori konspirasi bahawa Covid-19 itu merupakan senjata biologi untuk menyerang pengaruh ekonomi China yang semakin meningkat.

Teori konspirasi yang boleh dipercayai walaupun sangsi pada masa sama. Jika Covid-19 dicipta oleh negara Barat, tidak mungkin negara Barat terkena jangkitan sama. Ia tidak mungkin. Covid-19 kini telah menyerang Amerika Syarikat dan anggota Kesatuan Eropah (EU) terutamanya Sepanyol dan Itali, termasuk United Kingdom dan Perancis yang terjejas teruk.

China boleh menyelamatkan dunia jika pemimpin di Beijing fokus untuk menyelesaikan masalah Covid-19 ini, yang sekarang sudah merebak di seluruh dunia, daripada fokus menjelaskan kepada rakyat mereka mengenai mengapa negara Barat hendak melakukan hal sedemikian terhadap China.

Spekulasi

Setakat hari ini, walaupun media sosial China tidak berhenti memberi spekulasi mengenai perang biologi dari Barat, namun pemimpin China tidak terlibat dengan spekulasi tersebut.

Ketiga, China telahpun mengeluarkan genom iaitu genetik lengkap Covid-19 seawal minggu ketiga bulan Januari untuk membolehkan para saintis dari seluruh dunia mempelajari genom SARS Cov II, virus yang mencetuskan Covid-19, tetapi entah bagaimana komunikasi antara saintis dan pembuat dasar di Barat terputus. Barat dilihat sengaja melambatkan hal itu.

Bagaimanapun, setelah memuji China, adalah penting untuk mengetahui bahawa China tidak memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai sifat serius virus dari Wuhan ini pada awal penularannya (https://foreignpolicy.com/2020/04/02/china-coronavirus-who-health-soft-power/). Apabila dilihat balik sejarah permulaan pandemik itu pada tahun 2020, ramai orang tertanya-tanya mengapa China tidak memberi amaran kepada dunia mengenai bahaya yang dibawa oleh wabak itu seawal bulan November 2019?

Jika China membenarkan Taiwan bersuara, sama ada kepada WHO atau Hong Kong, di mana kedua-duanya mempunyai pengalaman melihat keseriusan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2002, sudah tentu satu dunia akan mengetahui dengan lebih awal dan mengambil serius masalah itu.

Terutamanya jika bekas Ketua Pengarah WHO, Dr Helen Chan yang telah mengendalikan SARS dengan jayanya, dibenarkan menjadi orang yang paling utama untuk membicarakan wabak yang berbahaya ini. Namun sehingga ke hari ini, Dr Helen Chan yang telah bersara daripada WHO hanya mendiamkan diri.

Tambahan pula, beberapa kit ujian yang dihantar oleh China ke EU atau yang diimport oleh pelbagai negara, tidak dibawa masuk oleh pihak berkuasa China sendiri. Malah, menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kit ujian yang ditawarkan oleh China ke Malaysia juga tidak boleh diyakini, sehingga memaksa KKM membuat rundingan dengan Korea Selatan untuk membawa masuk kit ujian tersebut dari negara itu.

China boleh menyelamatkan dunia jika republik itu tidak hanya melakukan pendekatan altruistik dengan menghantar pakar perubatan barisan hadapan mereka ke luar negara, namun perlu juga melakukan audit yang serius terhadap kekurangan mereka sendiri. Dalam erti kata lain, mencari ‘kebenaran daripada fakta’, seperti yang disebut oleh Pemimpin Agung China, mendiang Deng Xiao Ping.

Covid-19 menyerang dunia namun dunia masih lagi dalam keadaan penafian, penipuan dan penuh helah. Terdapat negara yang enggan mengesan, menguji dan merawat secara agresif seperti Malaysia dalam membendung Covid-19.

Dengan kekurangan fakta yang betul, bermula dengan China, akan membawa kepada defisit data yang teruk untuk memahami rawatan saintifik terbaik yang boleh digunakan.

Saintifik

China juga boleh menyelamatkan dunia dengan menjelaskan mengapa mereka menutup sempadannya ke seluruh dunia, namun meminta beberapa negara supaya sempadan mereka terus dibuka? Seperti mendesak Vietnam, Korea Selatan dan Kemboja, pada satu ketika, untuk mengekalkan perniagaan mereka seperti biasa.

Hanya baru-baru ini, China menggalakkan negara-negara lain untuk menjalankan perintah berkurung di negara masing-masing untuk menghentikan penyebaran wabak Covid-19.

China boleh menyelamatkan dunia, seperti mereka menyelamatkan diri mereka sendiri dengan melihat balik, secara terperinci dan saintifik, bagaimana pandemik itu bermula dan dengan cepat menular ke seluruh dunia dalam masa kurang dua ke tiga bulan.

Negara Barat dan seluruh Asia juga perlu melakukan hal sama secara jujur, kerana jika tidak, mereka akan terkubur apabila pandemik itu bertukar menjadi endemik iaitu penyakit yang akan sentiasa muncul.

China boleh menyelamatkan dunia, dengan memberi satu contoh baik serta mewujudkan masa yang saintifik kes pertama mereka di mana beberapa doktor mereka telah menerbitkan jurnal perubatan di sana. Tetapi, kenapa mereka membenarkan saintis mereka memberi amaran kepada rakan saintis yang lain di seluruh dunia dan bukan kepada pemimpin mereka sendiri?

Sementara itu, sehingga semalam, di peringkat global, jumlah pesakit terus meningkat; 1,350,841 kes positif dengan laporan 74,870 jumlah kematian. Di Malaysia, kes positif telah mencapai angka 3,963 dengan 63 kematian.

Apa yang membimbangkan ialah beberapa pakar telah meramalkan bahawa penyebaran ini akan mencapai puncak pada pertengahan April 2020, hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua di Malaysia.

Adakah kita akan melihat lanjutan ketiga PKP untuk memutuskan rantaian penyebaran itu?

* Dr Rais Hussin ialah Ahli Majlis Tertinggi Bersatu dan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar parti
[SH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply