Dialog CEO (APEC) Malaysia 2020 Penghubung Pemimpin Kerajaan Bermula Hari ini
Dialog CEO (APEC) Malaysia 2020 Penghubung Pemimpin Kerajaan Bermula Hari ini
Kuala Lumpur, MTN – Dialog CEO Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Malaysia 2020 selama dua hari bermula hari ini, akan menghimpunkan barisan pemimpin kerajaan dan industri daripada 21 anggota ekonominya bagi mengutarakan isu mendesak rantau ini serta dunia susulan penularan pandemik COVID-19.
Menurut penganjur, Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) – Malaysia, acara bertemakan ‘APEC Re-Imagined: Priorities in the Aftermath of COVID-19,’ itu menumpukan perbincangan terhadap cabaran ketara rantau ini serta dunia dan bentuk kerjasama kerajaan mahu pun sektor swasta untuk memacu pertumbuhan berikutan pandemik itu.
Dialog CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif APEC Malaysia 2020 itu juga adalah yang pertama secara maya bagi acara tahunan Sidang Kemuncak CEO APEC atau lebih dikenali sebagai ‘mesyuarat Lembaga Pengarah Asia Pasifik’ bagi era COVID-19.
“Tahun ini telah menyaksikan keadaan yang terjejas, tidak menentu dan mencabar berbanding apa yang pernah dibayangkan oleh kebanyakan daripada kita. Namun, perdagangan dan pelaburan global boleh membawa kepada pemulihan ekonomi serta daya tahan terhadap krisis-krisis lain di masa depan,” kata Pengerusi ABAC Datuk Rohana Mahmood dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan Dialog CEO APEC Malaysia 2020 sebagai forum untuk pemimpin rantau berkenaan membincangkan komitmen terhadap pasaran terbuka, integrasi, keterangkuman dan kemampanan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi dan kestabilan dalam komuniti tersebut.
Kalangan pesertanya termasuk pemimpin APEC, CEO global, usahawan berwawasan, pemimpin pemikir yang disegani serta pakar dari serata rantau berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Dialog CEO APEC Malaysia 2020 Datuk Ruben Gnanalingam berkata cabaran semasa yang dihadapi dunia memerlukan respons yang diselaras secara global.
“Oleh itu, acara ini menyediakan peluang unik untuk kedua-dua sektor awam dan swasta serta kalangan 21 ekonomi APEC bertukar pandangan, kerjasama dan perkongsian,” katanya.
Antara topik bagi sesi terbabit adalah keperluan utama digital bagi laluan pemulihan pasca-COVID-19, keadaan dunia susulan pandemik itu, masa depan kerjasama antarabangsa serta pertumbuhan global.
Kalangan pemimpin yang akan berkongsi pandangan mereka termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Presiden China Xi Jinping, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Adern, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Long dan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha.
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor