ESKL Merancang Kempen Pembayaran Cukai Di Kalangan Atlet E-Sukan | Malaysia News
December 14, 2024

ESKL Merancang Kempen Pembayaran Cukai Di Kalangan Atlet E-Sukan

ESKL Merancang Kempen Pembayaran Cukai Di Kalangan Atlet E-Sukan

ESKL Merancang Kempen Pembayaran Cukai Di Kalangan Atlet E-Sukan

Putrajaya, MTN – Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur (ESKL) bercadang untuk mengadakan kempen kesedaran membayar cukai dalam kalangan atlet sukan elektronik (e-sukan) bermula tahun depan.

Presiden ESKL Hisham Darus berkata kempen itu bertujuan menggalakkan pemain industri e-sukan membayar cukai hasil hadiah wang kemenangan sekali gus mengelakkan diri daripada didenda atau dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Katanya, kebanyakan atlet e-sukan lebih tertumpu kepada penyertaan kejohanan, pencapaian, kebolehan teknikal dan prestasi individu berbanding tanggungjawab membayar cukai serta kepentingan cukai dalam pembangunan e-sukan negara.

“Jadi bermula 2021, ESKL akan menjalankan kejohanan serta aktiviti bersekali dengan kempen kesedaran membayar cukai dalam kalangan penggiat e-sukan untuk memberitahu atlet bahawa wang kemenangan yang diperoleh itu bukan milik mutlak mereka.

“Sebahagian daripada wang kemenangan perlu diserahkan kepada negara untuk kemajuan negara khususnya bagi menampung pembangunan e-sukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hisham berkata anggaran sehingga RM100 juta mampu diperoleh kerajaan sekiranya atlet e-sukan membayar cukai pendapatan.

Dalam pada itu, Hisham mendedahkan beberapa atlet e-sukan telah tampil menyuarakan keluhan apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meminta mereka melunaskan bayaran cukai dan ada segelintirnya kes mereka sudah dibawa ke mahkamah atau akan diisytihar muflis.

Katanya, ESKL akan mengadakan pertemuan bersama LHDN dan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi membincangkan satu usahasama bagi menjayakan kempen kesedaran berkenaan.

Sementara itu, Hisham berkata terdapat keperluan untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneliti semula dasar pembangunan sukan khususnya mengenai Seksyen 2 Jadual 1 Akta Pembangunan Sukan 1997 berhubung pengecualian cukai kepada olahragawan dan olahragawati profesional negara.

“Saya difahamkan setakat ini ada 29 sukan didaftarkan untuk pengecualian cukai ke atas olahragawan dan olahragawati. Saya harap e-sukan dapat dipertimbang untuk diletakkan dalam Jadual 1 tersebut,” katanya.

 

[bernama]

Facebook Comments

Author Profile

Maulia

About The Author

Leave a Reply