MSWP Telah Menetapkan Tanda Aras PKPB Untuk Memastikan Prestasi Atlet | Malaysia News

MSWP Telah Menetapkan Tanda Aras PKPB untuk Memastikan Prestasi Atlet

MSWP Telah Menetapkan Tanda Aras PKPB untuk Memastikan Prestasi Atlet

Kuala Lumpur, MTN – Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menetapkan penanda aras sebagai majlis sukan negeri pertama menganjurkan latihan secara kuarantin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan prestasi atlet tidak terjejas.

Pengerusi MSWP Datuk Ramlan Shahean @ Askolani berkata satu program khas dikenali sebagai Kem Latihan Atlet Wilayah Persekutuan (KLAS WiPers) dijalankan di sebuah hotel di sini bermula 14 hingga 17 Dis, susulan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur dan Selangor sejak 14 Okt lepas.

Beliau berkata sebanyak 499 individu, termasuk 399 atlet dan 52 jurulatih daripada 19 jenis sukan terlibat dalam kem tersebut sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang ditunda sehingga 2022.

“KLAS WiPers ini membantu atlet dan jurulatih kekal bersedia menghadapi SUKMA, selain memberi peluang kepada jurulatih mengkaji semula program latihan dan menjalani kejohanan simulasi pada hari terakhir. Jika kami tidak mengadakan latihan seperti ini, mereka berisiko kehilangan semangat dan motivasi.

“Atlet dan jurulatih diasingkan dalam kumpulan mengikut sukan, tidak dibenarkan keluar atau berjumpa dengan orang awam sepanjang program, selain kemudahan khas dan pengangkutan untuk pergi dan balik ke pusat latihan dari kawasan hotel turut disediakan,” katanya selepas memantau kem latihan itu di sini hari ini.

Menurut beliau, kem berkenaan dilaksana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain MSWP juga merangka SOP sendiri yang diluluskan Pusat Pengurusan Krisis (CMC) peringkat Wilayah Persekutuan.

Mengenai Kompleks Sukan MSWP yang dilapor bakal dibangunkan di Presint 13 Putrajaya dengan kos bernilai RM40 juta, beliau berkata pihaknya telah membentangkan pelan itu kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan sedang menunggu kelulusan selepas mendapat tanah daripada Perbadanan Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah MSWP Dr Hasnul Faizal Hushin Amri yakin had umur untuk Sukma Johor 2022, akan dinaikkan kepada bawah 23 tahun selepas kebanyakan negeri bersetuju ketika mesyuarat secara maya bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, baru-baru ini.

Namun, beliau berkata keputusan muktamad akan dibuat selepas penelitian oleh Jawatankuasa Teknikal Sukma.

“Kebanyakan negeri bersetuju bahawa atlet dibawah 23 tahun boleh dihantar jika mereka tersenarai dalam senarai panjang sebelum ini, tetapi kalau membuat penggantian atlet perlu bawah 21 tahun, manakala bagi edisi 2024, had umur akan kembali kepada bawah 21 tahun. Kita dah membelanjakan banyak wang untuk latihan dan pembangunan atlet, rugi jika mereka tidak diberi peluang bertanding,” katanya.

Dalam pada itu, Hasnul Faizal berkata keberkesanan KLAS Wipers akan dikaji untuk merangka program latihan pada masa depan sekiranya situasi COVID-19 masih berlarutan untuk tempoh berpanjangan, selain menunggu kemudahan sukan lain dibuka untuk kegunaan atlet.

Beliau berkata pada masa ini, atlet dari Labuan mengadakan latihan secara simulasi dengan konsep yang sama seperti di Kuala Lumpur berikutan menghadapi kekangan dari segi penerbangan dan SOP untuk menjalani latihan di ibu negara.

[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply