Filem Prebet Sapu Wakil Malaysia Ke Oscar | Malaysia News
December 9, 2021
Filem Prebet Sapu

Filem Prebet Sapu Wakil Malaysia ke Oscar

Kuala Lumpur, MTN – Filem bajet rendah Prebet Sapu atau judul bahasa Inggeris, Hail, Driver! terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), tahun depan.

Dibikin pada kos RM500,000 dengan beberapa pelakon nama besar sanggup dibayar ‘token’, filem Prebet Sapu arahan Muzammer Rahman terpilih selepas memenuhi beberapa kriteria ditetapkan penganjur Anugerah Akademi atau Oscar.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan menyebut, filem Prebet Sapu terbitan Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio dipilih Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS dianggotai penggiat filem profesional dan berpengalaman.

“Filem Prebet Sapu dinilai melalui proses terperinci berdasarkan kriteria perfileman seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan bunyi, skor muzik, penataan seni, suntingan filem dan pematuhan kepada peraturan pertandingan,” kata kenyataan.

Filem Prebet Sapu yang belum ditayangkan di Malaysia diterajui Amerul Affendi dan Mei Fen Lim. Filem ini turut menampilkan Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun dan ramai lagi.

Apa yang menarik, filem ini dibikin dalam konsep hitam putih dan pernah mewakili Malaysia ke pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.

Advertisement

Anugerah Akademi akan diadakan di LA pada 27 Mac tahun depan.

Sementara itu, Muzzamer bersyukur filem Prebet Sapu terpilih mewakili negara pada Anugerah Akademi sebagai calon awal kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

“Setiap negara menghantar sebuah filem sebagai wakil. Terima kasih kerana memilih filem kami… Ini suatu momen yang membanggakan.

“Saya teruja kerana filem ini disiapkan pada 2017. Terlalu lama perjalanannya hingga tertangguh untuk sampai ke tahap ini,” katanya.

Pengarah berasal dari Segamat, Johor ini berkata, kos permulaan menghasilkan Prebet Sapu sebagai projek filem ‘indie’ hanyalah RM500,000.

“Saya bertuah kerana pelakon hebat dan ‘top’ sanggup mewarnai filem ini. Selain dua pelakon utama, Bront, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Sharifah Amani, Jay dan Roslan juga tampil.

“Mereka setuju menjayakan filem ini biarpun hanya diberi ‘token’,” katanya,

Muzzamer yang juga graduan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, Prebet Sapu akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 16 Disember depan.

Prebet Sapu mengisahkan kehidupan anak muda yang mencari makan di Kuala Lumpur sebagai pemandu prebet sapu.

Filem ini dihasilkan dalam hitam putih kerana watak utama, Aman lakonan Amerul adalah lelaki buta warna.

[BH]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •