GETB Telah Melancarkan Rancangan i-Great Evo untuk Menyokong RFCTT Takaful 2020
GETB Telah Melancarkan Rancangan i-Great Evo untuk Menyokong RFCTT Takaful 2020
Kuala Lumpur, MTN – Great Eastern Takaful Bhd (GETB) telah melancarkan pelan perlindungan evolusi i-Great Evo dalam usaha menyokong ‘Race for Cover Towards Takaful 2020’ (RfCTT 2020) oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA).
Dalam kenyataan hari ini, GETB berkata i-Great Evo disediakan khusus untuk memberi peluang kepada pelanggan menyesuaikan pelan perlindungan mengikut tahap dan kemampuan pada fasa kehidupan berbeza atau ‘pelan yang seiringan dengan kehidupan pelanggan.’
Maklumat GETB misalnya menunjukkan bahawa kadar pengambilan/langganan pelan takaful dalam kalangan individu berkahwin adalah 71 peratus manakala golongan bujang hanya 25 peratus.
“Data itu turut memaparkan bahawa median usia perkahwinan adalah sekitar 26-28 tahun yang menunjukkan ramai yang lewat menyertai pelan takaful ini.
“Tindakan melanggan pelan takaful pada usia lebih lewat akan hanya meningkatkan jumlah bayaran sumbangan akibat peningkatan risiko disebabkan oleh masalah kesihatan.
“Dalam senario ini, peserta takaful akan memilih perlindungan lebih rendah atas alasan tidak mampu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman berkata i-Great Evo menawarkan fleksibiliti dari segi elemennya yang khusus disesuaikan dengan keperluan pelanggan seiring usia dan membenarkan mereka menambah atau mengurangkan liputan mengikut kemampuan pada bila-bila masa.
“Pelan ini merangkumi tiga fasa — pertama ketika bujang, tiada tanggungan dan kurang komitmen kewangan manakala fasa kedua apabila mempunyai tanggungan (suami/isteri) dan wujud keperluan perlindungan asas perubatan dan penyakit kritikal.
“Fasa ketiga adalah ketika anda memerlukan perlindungan yang komprehensif untuk anak-anak,” katanya.
Menurutnya, pelan tersebut adalah fleksibel dan boleh dipertingkat pada bila-bila masa. Bagi kanak-kanak, perlindungan 11 penyakit kritikal disediakan selain perlindungan untuk 45 penyakit kritikal.
Menurut Shahrul Azlan, i-Great Evo juga merupakan Pelan Keluarga Bertempoh yang membayar jumlah perlindungan asas bagi kematian dan hilang upaya kekal dan menyeluruh untuk individu yang dilindungi selain faedah ihsan sebanyak RM2,000 membabitkan kematian pelanggan.
Pelan itu matang pada usia 25 tahun atau 80 tahun untuk kanak-kanak serta dewasa yang dilindungi.
Selain itu, i-Great Evo juga menawarkan pelan asas takaful bertempoh dengan lapan ‘rider’ (manfaat tambahan) yang boleh diambil dan meliputi perubatan dan hospital, penyakit kritikal, kemalangan dan pengecualian sumbangan.
“Langgan i-Great Evo menjelang usia 25 tahun dan dapatkan perlindungan sehingga usia mencecah 80 tahun dengan jumlah perlindungan asas RM100,000 selain kemudahan perubatan dan hospital sebanyak RM150 bagi bilik dan penginapan.
“Lindungi juga diri anda jika berlaku kematian akibat kemalangan dengan mengambil ‘rider’ manfaat tambahan kemalangan i-Comprehensive ke dalam pelan sedia ada. Ini membolehkan waris menerima manfaat ihsan RM2,000.
“Kesemua ini pada bayaran kira-kira RM200 sebulan – jumlah kecil yang anda perlu ketepikan sebaik memulakan kerjaya. Lagi muda anda sertai pelan takaful, maka lebih rendah bayaran bulanan itu,” katanya.
Fasa 2 i-Great Evo pula membolehkan pelanggan mengambil pelan bagi pasangan serta meningkatkan liputan asas perlindungan kepada RM200,000.
Apabila kerjaya dan kewangan makin stabil, mereka boleh memilih untuk menambah had kemudahan bilik hospital kepada RM200 dan RM150 untuk pasangan.
“Ini masa terbaik untuk anda mengambil ‘rider’ manfaat penyakit kritikal i-Lifetime bagi melindungi diri anda terhadap 45 penyakit kritikal dengan jumlah perlindungan sebanyak RM100,000,” katanya.
Beliau berkata, para pelanggan juga boleh melanggan i-Great Evo untuk anak-anak mereka berserta perlindungan perubatan merangkumi RM150 untuk kemudahan bilik dan penginapan serta jumlah perlindungan asas RM50,000.
“Selain itu, i-Great Evo juga memastikan aspek tuntutan kerohanian dapat dipenuhi menerusi pihak atau individu yang melakukan badal haji. Perkhidmatan itu adalah pilihan dan pelanggan hanya perlu mengisi borang berkaitan manakala perkhidmatan tambahan lain adalah wakaf dan hibah,” katanya.
Ini sejajar dengan objektif RfCTT 2020 bagi mengurangkan jurang perlindungan selain meningkatkan kadar penembusan takaful sebanyak 25 peratus menjelang 2020.
[bernama]
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor