Legenda Bola Sepak Namat Abdullah Meninggal Dunia | Malaysia News

Legenda Bola Sepak Namat Abdullah Meninggal Dunia

Legenda Bola Sepak Namat Abdullah Meninggal Dunia

MTN – Malaysia kehilangan seorang lagi legenda bola sepak Namat Abdullah, 74, yang meninggal dunia di kediaman menantunya di Kamunting, Taiping, pada pukul 5.30 petang lalu.

Menantunya Mohd Fadzlie Ramlee berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Taman Peruda, Sungai Petani malam ini, untuk penghormatan terakhir.

Beliau berkata Allahyarham yang menghidap angin ahmar dan barah usus sejak beberapa tahun lepas, akan dikebumikan di Sungai Petani, kemarin.

“Kami anakanda kepada arwah ingin memohon maaf bagi pihak arwah dan sekiranya ada ucapan, perbuatan yang terguris tanpa sengaja sepanjang perkenalan bersama arwah, maafkanlah dan sekiranya abah ada berhutang sila berhubung dengan kami,” katanya ketika dihubungi.

Dilahirkan pada 30 Mac 1946 di Butterworth, Pulau Pinang, Namat mula menyarung jersi negara dari 1968 hingga 1975, dan bekas kapten Harimau Malaya itu juga merupakan anggota skuad Olimpik Munich 1972 dan Sukan Asia Tehran 1974.

Memulakan kerjaya beliau dengan Marines Sports Club di Pulau Pinang, Namat dikenali dengan rembatan deras dan kebolehan membuat lontaran jauh ke dalam kotak penalti sepanjang kerjayanya sebagai pemain pasukan Penjara, Pulau Pinang dan skuad kebangsaan.

Di awal kariernya, Allahyarham bertindak selaku penggempur sewaktu membantu Pulau Pinang menjuarai Piala Burnley 1965 sebelum bermain di posisi bek kanan, dan beliau meraih tiga kejayaan dalam tahun yang sama – Piala Malaysia, Pestabola Merdeka dan pingat gangsa Sukan Asia 1974.

Namat juga pernah menjulang Piala FAM bersama Penjara pada 1970, 1971 dan 1973.

Allahyarham yang juga bekas Subinspektor di Jabatan Penjara meninggalkan seorang isteri, Datin Mahani Sulaiman, tujuh anak, 17 cucu dan seorang cicit.

[MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply