Hoki Piala Remaja Asia 2020 Dilaksanakan Pada Julai 2021 Di Bangladesh | Malaysia Top News
December 5, 2020

Hoki Piala Remaja Asia 2020 Dilaksanakan pada Julai 2021 di Bangladesh

Kuala Lumpur, MTN – Kejohanan Piala Remaja Lelaki Asia 2020 yang ditangguh dua kali berikutan pandemik COVID-19 akan diadakan di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani di Dhaka, Bangladesh dari 1 hingga 10 Julai 2021.

Menurut Persekutuan Hoki Asia (AHF) dalam laman web www.asiahockey.org hari ini, tarikh baharu itu diluluskan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

AHF menegaskan pemain yang lahir pada atau selepas 1 Jan 1999 layak mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang menjadi perlawanan kelayakan untuk Piala Remaja Lelaki Dunia 2021 di India.

Sebanyak 10 pasukan akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu iaitu Malaysia, China, Taiwan, India, Jepun, Korea Selatan, Oman, Uzbekistan, Pakistan, dan tuan rumah Bangladesh.

Kejohanan itu pada mulanya dijadual diadakan pada 4 hingga 12 Jun, tetapi pada September lepas, ia ditunda ke 21 hingga 30 Jan 2021, sebelum AHF sekali lagi membuat keputusan untuk menangguh kejohanan itu ke satu tarikh susulan pandemik COVID-19.

 

[bernama]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •